"ELOKLAH muhasabah diri. Tidak molek rogol dijadikan jenaka,” kata isteri saya.
Itulah isu yang saya baca dan sedang hangat diperkatakan. Isu jenaka rogol seolah-olah dinormalisasikan. Saya rasakan bagi mereka yang berasakan ia normal, cara fikirnya sudah parah.
Parah kerana boleh merosakkan cara berfikir anak-anak lelaki kita apabila didedahkan di usia muda dengan justifikasi ia hanya jenaka dan gurauan. Tidak perlu diambil serius.
Mungkin mereka yang berasakan itu normal perlu memeriksa otak mereka sama ada otaknya masih elok atau tidak.
"Apa sebenarnya masalah orang lelaki ni boleh fikir begitu?” tanya isteri saya. Saya hanya mendiamkan diri. Sekali-sekala saya angguk-angguk.
Kemudian kata isteri saya:"Orang lelaki ini suka menuding jari. Kalau orang perempuan pakai seksi, dia akan salahkan perempuan menyebabkan dia tidak boleh kawal nafsu. Pelik.”
"Apa yang pelik?” tanya saya pula.
"Peliklah, kalau tak boleh kawal nafsu sendiri, kenapa nak salahkan orang lain? Salahkan diri sendirilah,” kata isteri mula meninggikan suara.
Saya angguk-angguk perlahan.
"Contoh, isu poligami. Ada ke patut nak berpoligami sebab takut terjebak zina. Kemudian disalahkan isteri kalau tak izin, nanti suami berzina, maka kena tanggung dosa. Awak rasa patut ke?” tanya isteri sambil mencengkam kuat tangan saya.
"Oh, tak patut, tak patut,” kata saya cuba melepaskan tangan.
"Orang lelaki kena jaga diri. Kena kawal nafsu. Bukan orang perempuan yang kena kawal nafsu dan dipersalahkan. Orang perempuan nak pakai macam mana pun terpulanglah. Si lelaki tulah kena jaga diri, tundukkan pandangan,” kata isteri saya lagi.
"Tetapi itulah, kata pepatah, takkan aib kucing biang,” kata saya.
"Apa maksudnya tu?”
"Orang yang sedang berahi akan perempuan, hilang segan dan malunya,” jawab saya.
"Itulah masalahnya. Asal tengok perempuan seksi sahaja dah berahi. Bila berahi, salahkan perempuan sebab pakai seksi. Awak rasa sebab pakaian ke yang jadi punca rogol?” tanya isteri sambil menjegilkan biji mata.
"Err...,” kata saya cuba bertenang.
"Macam mana pula lelaki rogol bayi, mayat, orang tua dan ada juga yang rogol lembu. Kalau ikut logik awak, maka lembu pun kena pakai baju,” sambung isteri pantas.
"Bila saya kata logik pula?” tanya saya cuba mempertahankan diri.
"Dan yang lebih menakutkan, kebanyakan kejadian rogol, melibatkan orang dikenali mangsa. Ada juga dalam kalangan keluarga sendiri,” kata isteri.
"Kita ada anak-anak lelaki. Awak kena ajar mereka jadi lelaki yang hormat perempuan. Kena ajar yang mereka tidak ada hak untuk menyentuh perempuan tanpa persetujuan. Walaupun melihat perempuan dalam keadaan bogel.
"Awak kena jadi contoh yang baik untuk anak. Jangan besarkan anak lelaki menjadi perogol. Perlu ada pendidi-kan awal. Kena tanya anak-anak lelaki kita, kalau tengok perempuan berbogel di tempat sunyi, nak kena buat apa?
"Kalau melihat di tempat awam, ada orang cuba nak ambil kesempatan dengan perempuan, perlu buat apa?
"Pendidikan awal itu penting untuk membuang pemikiran sempit anak lelaki kepada perempuan. Kena ajar hormat perempuan. Orang perempuan bukan hamba dan alat sahaja.
"Pertama, sudah-sudahlah salahkan perempuan pakai seksi penyebab lelaki merogol. Sebaliknya lelaki itu sendiri kena kawal diri dan salahkan diri sendiri. Cukuplah salahkan mangsa.
"Yang kedua, pendidikan awal tentang seks dan menghormati perempuan perlu diterapkan kepada anak lelaki ini. Jangan jadikan seks ini sebagai jenaka.”
"Ketiga, sekali kalau boleh, pepatah Melayu yang kata ‘susu di dada tak dapat dielakkan’ elok dibuang sahaja dari kamus peribahasa. Tak senonoh pula peribahasa tu.”
Akhir sekali, perhatikan juga kalau ada lebai yang guna Hadis Muslim yang kata, boleh menyusukan orang dewasa. Bukan apa, nanti ada lebai yang guna hadis ini ambil kesempatan pula,” kata isteri saya mengakhiri bebelan.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com