Daikin lancar khidmat pembersihan penyaman udara

Iklan
Lawrence Song (tengah) pada majlis pelancaran perkhidmatan Go Clean secara maya, pada Jumaat. - Foto Daikin Malaysia

SHAH ALAM - Daikin Malaysia melancarkan ciri pembersihan penyaman udara baharu, Go Clean melalui aplikasi mudah alih Go Daikin.

Aplikasi Go Daikin dikembangkan bertujuan mengintegrasikan produk dan perkhidmatan Daikin ke dalam satu aplikasi untuk memanfaatkan digitalisasi pasaran.

Iklan
Iklan

Pengurus Besar Daikin, Lawrence Song berkata, Daikin merupakan sebuah syarikat yang mengutamakan keperluan pelanggan, bukan hanya dari aspek produk tetapi juga mementingkan perkhidmatan selepas penjualan.

"Kami memahami kepentingan bagi memastikan kepuasan pelanggan walaupun selepas menjual produk dan kami bangga dikenali sebagai penyelesaian sehenti untuk semua keperluan penyaman udara di pasaran.

Iklan

"Melalui perkembangan dan penambahbaikan secara berterusan serta kerjasama yang dibuat bersama rakan kongsi yang boleh dipercayai seperti Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC), kami berasa bangga kerana akhirnya dapat membawa Go Clean ke pasaran,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kerjasama strategik antara Daikin dan JTM bermula pada Ogos 2019 bagi kursus pemasangan penyaman udara bertempat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pengarah JTM, Shakib Ahmad Shakir berkata, tenaga kerja yang terlatih dalam industri penyaman udara penting bagi menjayakan inisiatif Daikin bagi mengubah perkhidmatan penyaman udara secara digital.

"Saya harap lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan ini. Jadi, kami perlu menyediakan tenaga kerja yang berfaedah untuk menyampaikan perkhidmatan yang diperlukan pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perniagaan Digital (MDEC), Aiza Azreen Ahmad berkata, pandemik Covid-19 telah menghentikan keraguan berpanjangan mengenai keperluan untuk menerapkan transformasi digital.

"MDEC akan terus bekerjasama dengan rakan–rakan strategik bagi membolehkan perniagaan mencapai pasaran baharu, meningkatkan pertumbuhan, pengembangan bakat dan kemahiran yang tepat ke arah mencapai Malaysia 5.0 serta merealisasikan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” tambahnya.

Go Clean adalah ciri perkhidmatan pembersihan baharu dalam aplikasi Go Daikin yang sebelum ini dilengkapi dengan ciri Wi-Fi (Go Convenience, Go Save, Go Comfort, Go Share).

Pelanggan boleh menggunakan aplikasi Go Daikin untuk memesan pakej perkhidmatan pembersihan penyaman udara yang berbeza melalui Go Clean.