Veteran Pas-Umno zahirkan penyatuan, kukuhkan Melayu-Islam

Iklan
Foto: SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM

SHAH ALAM - Veteran UMNO dan veteran Pas mencapai kata sepakat bagi menjalinkan kerjasama bersama bagi mengukuhkan penyatuan Melayu-Islam.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, persetujuan itu dicapai selepas mesyuarat bersama yang diadakan hari ini, setelah perbincangan dan mesyuarat yang berlangsung selama lebih daripada dua jam.

Iklan
Iklan

"Kerjasama kita akan terus dipereratkan selepas PRK Cameron Highlands dikemaskan di PRK Semenyih.

"Jadi jelas kita nak sampaikan mesej kepada PH, 'sorry' awak boleh buat apa sahaja, cakap apa sahaja tentang Pas-UMNO, kami telah bertekad bahawa akan bersama dan bersatu bekerjasama untuk menunjukkan komitmen Melayu-Islam bersatu," katanya dalam sidang media bersama veteran Pas di bilik gerakan BN, di sini, hari ini.

Iklan

Turut bersama dalam sidang media berkenaan Pengerusi Assabiqun (Veteran) Pas, Subky Abdul Latif.

Katanya lagi, apa yang jelas sekarang ini khususnya orang Melayu-Islam teruja untuk melihat perkembangan ini.

Iklan

"Kita berjaya adakan mesyuarat bersama ini adalah langkah pertama ke arah kerjasama yang lebih erat antara kami.

"Pas tidak sesekali akan tinggalkan UMNO sendirian di Semenyih seperti Pas tunjuk di Cameron Highlands, Pas komited hendak bantu," katanya lagi.

Sebelum ini Pemuda UMNO dan juga Pemuda Pas jua mencapai kata sepakat untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat.

Sementara itu menurut Pengerusi Asabiqun, Subky Abdul Latif berkata, bagi pihak Pas mereka amat mengalu-alukan kerjasama ini.

Malah katanya, Pas amat teruja dengan kesudian veteran UMNO untuk menjalinkan kerjasama.

"Bagi pihak Assabiqun yang mewakili Pas rasa kita tak pernah jumpa saat paling menyenangkan kita dalam sejarah politik sejak 60 tahun merdeka, kita rasa sekarang perubahan berlaku tak pernah fikir dulu tapi berlaku sekarang, ini kehendak ALLAH.

"Saya rasa perkembangan ni bukan dikehendaki UMNO saja, Pas juga mahu - umpamanya gunung tak datang kepada Muhammad, Muhammad pergi ke gunung, sekarang kalau UMNO tak nak, saya nak, kalau orang Melayu-Islam tak sambut ia akan rugikan kita," katanya.