PENGENDALI Arsenal Mikel Arteta menjangkakan skuad The Gunners itu bakal menerima tentangan sengit daripada Newcastle United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St James Park, pada Ahad.
Menurut Arteta, pemain Newcastle pasti teruja untuk beraksi pada perlawanan berkenaan apatah lagi setelah berjaya keluar daripada zon penyingkiran baru-baru ini.
Bagaimanapun, skuad The Gunners akan tetap bersedia bagi berdepan kesebelasan anak didik Steve Bruce dan seterusnya mencatatkan kemenangan kali ini.
"Saya pasti Newcastle akan mengamalkan corak menyerang pada perlawanan kali ini dalam usaha memburu jaringan awal.
"Mereka adalah pasukan yang benar-benar tersusun dan telah banyak menunjukkan peningkatan,” katanya.
Arsenal kini berada pada kedudukan ke-10 manakala Newcastle berada pada kedudukan ke-16 pada carta EPL.
Dengan berbaki hanya lima perlawanan, hasrat The Gunners untuk mencabar kedudukan kelompok empat pasukan teratas EPL.
Sementara itu Arteta mengingatkan pemain agar tidak terlalu terkesan dengan kekalahan 1-2 kepada Villarreal dalam aksi separuh akhir pertama, Liga Europa, minggu lalu.
Katanya, kesemua pemain telah diingatkan untuk beraksi seperti biasa selain tidak mensia-siakan peluang yang dimiliki untuk menjaringkan gol.
"Mereka juga diharap dapat beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan dan seterusnya membantu kejayaan pasukan.
"EPL adalah satu pertandingan di mana kita tidak boleh meramalkan di manakah kedudukan pasukan kita dan satu-satunya yang boleh kita kawal adalah daripada segi persembahan dan keputusan,” katanya.