KUALA TERENGGANU - Impian seorang suri rumah mahu menggayakan set barang kemas baharu pada hari raya nanti bukan saja berkecai, malah terpaksa menanggung kerugian hampir RM2,000 akibat ditipu pemilik akaun Facebook tidak dikenali.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 32 tahun itu tertarik dengan satu iklan jualan murah di Facebook individu yang tidak dikenalinya pada Selasa.
Beliau berkata, Facebook berkenaan mengiklankan satu set barang kemas yang ditawarkan dengan harga RM1,700 sahaja.
"Harga tersebut termasuk cincin, gelang dan rantai emas. Tertarik dengan harga istimewa itu, mangsa yang sememangnya sedang mencari set barang kemas untuk hari raya terus menghubungi nombor talian yang disertakan untuk bertanya lebih lanjut.
"Mangsa berhubung dengan individu menerusi aplikasi WhatsApp. Selepas menyatakan persetujuan, individu tersebut memberikan nombor akaun sebuah bank bagi urusan pembayaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
M Zambri berkata, tanpa berfikir panjang, pada hari yang sama mangsa menyelesaikan kesemua bayaran dengan melakukan dua kali transaksi ke dalam akaun bank diberikan iaitu transaksi pertama berjumlah RM1,000 dan selebihnya RM700.
"Meskipun sudah menjelaskan semua bayaran dikenakan, mangsa mula merasa curiga apabila individu tersebut masih meminta bayaran tambahan dengan memberi pelbagai alasan.
"Mangsa akhirnya sedar ditipu selepas individu berkenaan gagal dihubungi. Dia membuat laporan polis pada Jumaat untuk siasatan lanjut," katanya yang turut menjelaskan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
M Zambri turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam urusan jual beli dalam talian supaya tidak terperangkap dengan taktik sindiket penipuan menjual harga emas jauh lebih murah berbanding harga pasaran.