Galas jawatan IPC bolehkan Malaysia teroka pasaran baharu

Iklan
- Foto 123RF

PONTIAN - Pemilihan Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif Komuniti Lada Antarabangsa (IPC) menggantikan Vietnam dilihat tepat dalam usaha memperkasakan industri lada negara dan meneroka pasaran baharu.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, pemilihan itu membawa banyak kebaikan kepada negara kerana dasar berkaitan pengeluaran lada boleh dirancang dan ditambah baik.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai menambah negara turut dapat mempromosi industri lada negara dalam kalangan negara pengeluar seperti India dan Vietnam.

"Pelantikan Pengarah Eksekutif dari Malaysia ini membolehkan perancangan dan kebaikan dalam menentukan polisi dilakukan sekali gus membawa manfaat kepada negara.

Iklan

"Pastinya Malaysia akan dapat meneroka pasaran baharu mengukuhkan hubungan diplomasi dengan negara pengeluar lada," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Prihatin Rakyat Parlimen Tanjung Piai, di sini pada Sabtu.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi kenyataan Jumaat memaklumkan Malaysia bakal mengambil alih giliran Vietnam pada 5 Mei ini untuk menjadi Pengarah Eksekutif IPC yang mempunyai ibu pejabat dan berpusat di Jakarta, Indonesia.

Iklan

Pegawai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Firna Azura Ekaputri Marzuki dipilih mewakili Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC secara pinjaman bagi tempoh tiga tahun.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Prihatin Rakyat, Jeck Seng berkata, pihaknya memberi sumbangan sebanyak 160 helai jubah kepada imam dan pembantu dengan melibatkan sebanyak 42 masjid dan 74 surau.

Katanya, sumbangan itu merupakan aktiviti tahunan pihaknya bagi membantu penduduk di bawah kawasannya.

"Parlimen Tanjung Piai akan memberikan bantuan tuisyen secara dalam talian percuma kepada semua pelajar Tingkatan Lima bermula Jun depan.

"Tuisyen secara dalam talian melibatkan semua sekolah di bawah parlimen dengan jumlah pelajar kira-kira seramai 1,300 orang,” katanya.