ALOR SETAR - Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar mempersoal pendirian Pas yang disifatkan rapuh dan tidak konsisten.
Ini susulan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tegas mahu memperkukuhkan kepentingan Melayu dan Islam dalam kerajaan dengan menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sehari sebelum hari penamaan calon PRK Semenyih.
Menurutnya, perbuatan Pas itu hanya akan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap parti itu.
"Tidak mustahil akan berlaku krisis kepercayaan orang ramai terhadap Pas, parti itu sendiri yang membentuk persepsi untuk masyarakat hilang kepercayaan terhadap mereka,” katanya.
Mahfuz berkata, dibimbangi kemungkinan ‘ada udang di sebalik batu’ dengan langkah awal cuba meraih kepercayaan Dr Mahathir, namun hakikatnya pendirian Pas itu boleh menyebabkan ramai pihak tidak lagi mempercayai parti itu.
"Kenyataan pimpinan Pas mengelirukan, ada yang seolah berdolak-dalik, sukar untuk kita tahu niat sebenar mereka.
"Jangan sampai selepas ini, UMNO pun tak percaya pada Pas, Dr Mahathir pun tak percaya,” katanya.
Menurutnya, apakah Pas cuba membodek Dr Mahathir untuk mendapatkan habuan tertentu yang tidak didedahkan.
"Saya pelik dengan sikap mereka, konon akan pertahankan Dr Mahathir sekiranya berlaku khianat terhadap beliau.
"Bertambah pelik apabila secara jelas Pas cuba dapatkan sokongan Dr Mahathir dan pada masa sama mahu sokongan daripada UMNO juga,” katanya.
Mahfuz berkata, pendirian Pas yang terumbang-ambing itu sebenarnya hanya ‘makan diri’ sendiri dan tidak menguntungkan parti itu.
"Adakah mereka terdesak? Tak mustahil Dr Mahathir pun hilang kepercayaan dan UMNO sudah tentu serik mahu bekerjasama lagi dengan Pas.
"Di PRK Cameron Highlands berganding tangan, PRK Semenyih pula tak mahu calon BN menang, seolah mahu PH menang, atas alasan kukuhkan Melayu dan Islam,” katanya.
Mahfuz turut melahirkan rasa simpati terhadap ahli Pas yang bertungkus-lumus bekerja dalam keadaan di mana pendirian parti amat rapuh.
"Amat malang ahli Pas kerana kepimpinan mereka hari ini tidak konsisten dalam percakapan mahupun perbuatan,” katanya.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendedahkan, Pas tidak akan bersama UMNO pada PRK DUN Semenyih pada pertemuan antara Abdul Hadi, yang turut disertai Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pimpinan Pas dikatakan telah menyerahkan surat contoh ditandatangani Takiyuddin sebagai sokongan kepada Dr Mahathir selaku Perdana Menteri, atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga PRU15.
Susulan itu, Takiyuddin tampil menjelaskan, parti itu akan terus mengekalkan hubungan bersama UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.
Pas juga, katanya, memberi laluan kepada BN di PRK DUN Semenyih namun dengan komitmen dan penglibatan berbeza berbanding di PRK Cameron Highlands.