PKP: Peniaga bazar buntu, tiada perancangan lain

Iklan
Muhammad Asfar mengeluarkan modal sebanyak RM2,000 untuk menjalankan perniagaan air di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman pada tahun ini.

ALOR SETAR - Peniaga bazar Ramadan Stadium Darul Aman buntu memikirkan nasib mereka selepas tidak dibenarkan beroperasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Kota Setar yang berkuatkuasa Sabtu.

Seorang peniaga air, Muhammad Asfar Mohd Ishak, 28 berkata, dia mengeluarkan modal sebanyak RM2,000 bagi memulakan operasi di bazar berkenaan tahun ini.

Iklan
Iklan

Muhammad Asfar mengakui bimbang dengan pengumuman PKP kerana perniagaannya belum untung malah belum balik modal.

"Kita mengeluarkan banyak modal untuk menyediakan stok dan mengira untung selepas tamat bulan puasa, tapi kerajaan sudah mengumumkan PKP," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Stadium di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, bagaimanapun Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) masih membenarkan peniaga di situ beroperasi selagi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri tidak mengeluarkan arahan terbaru berkaitan prosedur operasi standard di bazar.

"Hari ini mungkin boleh, kalau esok lusa kena tutup saya tidak tahu macam mana," katanya.

Iklan

Peniaga martabak, Fazil Harun, 54, berkata, dia dan keluarga belum mempunyai perancangan lain sekiranya benar kerajaan tidak membenarkan bazar Ramadan beroperasi.

"Saya sudah berniaga di sini selama 16 tahun setiap kali bulan puasa. Sekarang kami bimbang kerana tiada perancangan lain. Kami reda jika bazar Ramadan diarahkan tutup," katanya yang membelanjakan RM1,000 sehari untuk menyediakan bahan mentah martabak.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) cawangan negeri Kedah, Sarjakhan Abu Bakar berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada peniaga berhubung arahan penutupan bazar terbabit.

"Peniaga bazar lazimnya hanya menjalankan perniagaan secara bermusim. Mereka beroperasi sepanjang Ramadan dan sebelum Aidilfitri. Peniaga yang menjual kuih muih, pakaian mengeluarkan modal yang besar termasuk peniaga bazar Ramadan.

"Tiba-tiba kerajaan laksanakan PKP, jika perniagaan tidak dibenarkan, di mana mereka nak letak barang perniagaan? Tempoh PKP pula akan tamat selepas hari raya, jadi peniaga akan mengalami kerugian yang besar,” katanya.

Sarjakhan mencadangkan kebenaran menjalankan perniagaan dipertimbangkan dengan pelaksanaan SOP yang lebih ketat di tapak bazar dan menghadkan kehadiran pengunjung.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri akan memohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengeluarkan SOP baharu berkaitan perkara itu agar peniaga bazar boleh beroperasi sekurang-kurang sehingga Isnin.

"Kita minta pelaksanaan tidak terlalu drastik, MKN buat SOP tapi untuk laksanakan perkara ini adalah pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi PBT boleh guna sikit budi bicara untuk hari ini esok dan lusa supaya peniaga boleh habiskan barangan mereka,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKP di lima daerah di negeri ini iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim bermula hari ini hingga 14 Mei depan.