TANJONG KARANG - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi pemasangan lampu limpah di Padang Bola Sepak Tanjong Karang FC (TKFC) bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan dari segi tahap pencerahan.
Noh berkata, kemudahan lampu limpah itu amat penting terutama bagi kegunaan pemain TKFC untuk beraksi dan melakukan latihan pada waktu malam.
Menurutnya, penambahbaikan itu diharap dapat menyokong pembangunan sukan bola sepak di Parlimen Tanjong Karang.
"Kita mahu membantu mengembangkan bakat anak-anak muda di Parlimen Tanjong Karang, sekali gus melahirkan pemain bola sepak yang bakal mengharumkan nama negara suatu hari nanti," katanya pada majlis berbuka puasa bersama pengurusan dan pemain TKFC di Kelulut Kafe di sini pada Sabtu.
Noh yang juga Penasihat TKFC berkata, pasukan bola sepak TKFC yang ditubuhkan sejak 15 tahun lalu terbukti sudah berjaya melahirkan pemain bola sepak berbakat di dalam negara.
"Antara pemain yang pernah bernaung bersama TKFC seperti pemain muda Selangor, Ahmad Danial Ahmad Asri.
"Malah, seorang pemain dari TKFC iaitu Mohd Nabil Ikhwan Mohd Zaidi juga telah terpilih menyertai Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang," katanya.
Sehingga kini, katanya, seramai 30 pemain kelahiran Tanjong Karang menyertai akademi TKFC sebagai bakat muda berpotensi untuk diketengahkan pada masa depan.
"Kita berharap mereka ini akan membawa impak kepada pembangunan sukan bola sepak negara suatu hari nanti," katanya.