Islam bukan sekadar ritual

Iklan

RAMAI bercakap tentang agama Islam tetapi sebenarnya mereka amat tidak memahami tentang agama Islam, khususnya apabila membandingkan agama Islam dengan agama lain. Tidak keterlaluan jika dikatakan Islam bukan sekadar agama tetapi suatu budaya dengan segala tindak-tanduk umatnya diberikan panduan.

Islam juga bukan hanya sekadar syariah tetapi ia merangkumi aspek lebih besar seperti pengurusan, peradaban dan tata hidup seseorang Muslim. Islam bukan sahaja menitikberatkan perkara-perkara ritual tetapi perkara fizikal juga diberikan panduan sempurna.

Iklan
Iklan

Malah, dalam isu ritual juga apabila dikaji sepenuhnya dengan kajian saintifik terbukti terdapat pelbagai manfaat dari sudut fizikal. Sebab itulah agama Islam menekankan banyak aspek kesopanan dan akhlak. Ia bukan sahaja akan dilihat baik pada neraca sosial tetapi dari sudut kesihatan juga ia membawa kebaikan yang besar.

Saya pernah berdiskusi dengan beberapa rakan bukan Islam yang mempersoalkan kenapa terlalu banyak panduan dalam agama Islam, seolah-olah umat Islam tidak langsung mempunyai hak menentukan kehidupan sendiri. Umat Islam dikatakan dikongkong dengan pelbagai peraturan dan ketetapan. Memang ketika ini terdapat ramai yang teruja dengan kemampuan logik akal.

Iklan

Golongan itu mendambakan kebebasan penuh kerana percaya mereka golongan cerdik dan perlu diberi kepercayaan menentukan hala tuju sendiri. Namun, golongan itu alpa kemampuan akal manusia adalah terhad. Jika panduan daripada Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui pun dipinggirkan, apakah jaminan logik akal manusia ini adalah betul pada setiap waktu.

Nampaknya ketika ini manusia lebih mahu penjelasan dan justifikasi berbanding dikemukakan dalil daripada al-Quran dan hadis. ALLAH memberi kebebasan kepada manusia dalam ruang lingkup dibenarkan. Apa yang tidak dibenarkan mempunyai implikasi negatif. Itulah sebabnya Islam diturunkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam. Islam tidak sekadar ritual sahaja tetapi adalah kultur budaya yang mesti dipertahankan.

Iklan

Islam perlu difahami di dalam maknanya sendiri, bukan diberikan analogi dengan agama lain yang menumpukan aspek ritual dan kerohanian semata-mata. Islam cara hidup yang penuh dengan panduan berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Contoh lain pula seperti di alam akhirat nanti setiap anggota tubuh manusia akan saling mendedahkan rahsia diri yang selama ini tidak pernah didedahkan atau diketahui sesiapa pun seperti firman ALLAH:"Pada hari ini (hari kiamat), Kami tutup mulut kamu dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan kaki mereka memberi kesaksian terhadap apa yang dilakukan oleh mereka dahulu.” (Yaasiin:65)

Surah An Nur ayat 24:"Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa-apa yang dikerjakan oleh mereka dahulu.”

Surah Fussilat ayat 21:"Dan mereka berkata kepada kulit mereka:" Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit mereka menjawab:"ALLAH yang menjadikan sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai berkata dan Dialah yang menciptakan kamu pada kali yang pertama dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”

Mengkaji ayat tersebut, pakar komunikasi merumuskan komunikasi paling efektif sehingga mencapai tahap 83 peratus bukanlah melalui perkataan diucapkan tetapi melalui komunikasi non-verbal seperti bahasa badan. Inilah sebenarnya intipati ayat-ayat di atas yang harus dikaji umat Islam.

Selagi hikmah itu tidak digali, kalangan orang yang masih teruja dengan kemampuan akal akan terus mempertikaikan falsafah dan perintah agama. Malah, pelbagai penistaan dilakukan terhadap agama kerana mereka tidak memberikan sebarang ruang kepada agama untuk mengisi hati mereka.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.