KUALA LUMPUR -"Saya tak berhasrat untuk kekal lebih lama dalam jawatan ini... setiap yang bermula itu pasti akan berakhir,” kata Tan Sri Abdul Hamid Bador yang akan menyerahkan jawatan Ketua Polis Negara kepada timbalan beliau, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada Isnin.
Dua tahun menerajui pasukan Sang Saka Biru dan sepanjang tempoh itu ada sesuatu yang beliau terkilan kerana tidak dapat dilaksanakan iaitu melawat Sabah dan Sarawak bagi menyelesaikan masalah-masalah pasukan di dua negeri itu.
"Tiada apa yang hendak saya sesali tapi hasrat saya adalah untuk ke sana (Sabah dan Sarawak) kerana di sana begitu banyak isu yang tidak dapat diselesaikan antaranya kes perjudian dan persempadanan negara.
"Saya tidak dapat pergi ke Sabah dan Sarawak sebab Covid-19 ini, banyak isu di Sarawak tapi saya mohon maaflah sebab sekiranya saya pergi (perlu) dengan kuarantin dan macam-macam...,” katanya.
Beliau berkata, sesuatu yang drastik perlu dilakukan di Sarawak dan berharap pucuk pimpinan PDRM selepas ini dapat memberi perhatian terhadap isu integriti, penyeludupan, perjudian dalam talian dan maksiat yang dikatakan banyak berlaku di sana.
Memegang jawatan tertinggi pasukan keselamatan negara pada 4 Mei 2019, Abdul Hamid akan menamatkan kontrak perkhidmatan beliau pada 3 Mei 2021.
Sebagai Ketua Polis Negara ke-12, Abdul Hamid dilihat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya untuk membersihkan maruah pasukan itu dengan memerangi habis-habisan rasuah dalam pasukan polis.
Tidak kira anggota, pegawai, pegawai kanan mahupun pegawai kanan tinggi dalam pasukan pasti tidak akan terlepas daripada diambil tindakan baik secara dalaman atau dihadapkan ke muka pengadilan jika didapati terbabit dalam rasuah, salah laku dan bersekongkol dengan pesalah jenayah.
"Pedih rasa dalam hati saya apabila melihat seorang demi seorang anak buah saya dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Abdul Hamid juga dikenali sebagai Ketua Polis Negara yang lantang bersuara menegur warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mendedahkan kes-kes anggota dan pegawai yang terlibat masalah integriti, salah guna kuasa dan salah laku serta lain-lain kes jenayah lagi.
Kelantangan dalam mendedahkan pelbagai kartel dalam pasukan bagaimanapun mendapat kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak termasuk warga PDRM sendiri dan ahli politik yang kurang senang dengan tindakannya dan menyifatkannya sebagai membuka pekung di dada.
Antara kejayaan besar polis di bawah kepimpinan Abdul Hamid ialah mematahkan cubaan penyeludupan dan pengedaran dadah di Pulau Pinang dengan nilai rampasan terbesar RM2.4 bilion, menggempur sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang turut membongkar penglibatan anggota dan pegawai PDRM sendiri.
Berikutan itu, seramai 31 warga PDRM yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian itu diambil tindakan, antaranya akan dibuang kerja, penurunan pangkat atau memindahkan mereka ke jawatan tidak sensitif dan lain-lain lagi yang difikirkan adil dan setimpal oleh Suruhanjaya Pasukan Polis.
Apa pun bak kata Abdul Hamid, setiap yang bermula pasti akan berakhir dan mulai Selasa 4 Mei ini, tugas, amanah serta tanggungjawab itu akan digalas oleh Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara ke-13 untuk terus meningkatkan integriti dan maruah pasukan Sang Saka Biru. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN Acryl Sani dilantik Ketua Polis Negara baharu