KUALA LUMPUR - Zoo Negara menghidangkan kek daging sejuk beku kepada Harimau Malaya jantan, Wira dan Hebat yang meraikan ulang tahun kelahiran kedua pada Sabtu.
Wira dan Hebat adalah antara lapan Harimau Malaya yang terdapat di Zoo Negara yang namanya diberikan oleh isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali.
Mengikut rekod, terdapat seekor lagi harimau betina dinamakan Melur dilahirkan pada tarikh sama, namun mati pada tahun lalu disebabkan lemas.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmad Lana berkata, pihaknya berbangga kerana mampu menjaga spesies harimau yang pupus itu dan dikatakan hanya tinggal 200 ekor di hutan.
Beliau berkata, Zoo Negara sentiasa mengutamakan aspek penjagaan termasuk pemeriksaan kesihatan harian haiwan berkenaan selain memberikan makanan mencukupi.
"Kita mempunyai staf berpengalaman yang menjaga haiwan ini sejak lahir hingga sekarang. Haiwan ini diberikan makan daging lapan kilogram (kg) sehari.
"Dari segi kesihatan juga tiada masalah kerana kakitangan akan memeriksa najis setiap pagi dan jika ada perubahan, pasukan veterinar akan bantu," katanya pada majlis iftar bersama media pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, beliau menolak dakwaan Zoo Negara kekurangan staf yang menyebabkan haiwan-haiwan di dalam zoo didakwa tidak dijaga dengan baik.
"Maklumat itu tidak tepat, Zoo Negara tidak menghadapi masalah staf. Pihak pengurusan akan menggantikan kakitangan jika ada yang berhenti.
"Cuma yang kurang sekarang adalah masalah elaun. Namun itu tidak dapat dielakkan disebabkan dana Zoo Negara yang terhad buat masa ini," katanya.
Mengulas isu dana katanya, kewangan Zoo Negara semakin baik hasil jualan tiket dalam kalangan pengunjung yang sangat menggalakkan selepas berakhir fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu menurutnya, pihak Zoo Negara turut berterima kasih kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang turut menyumbangkan rampasan daging bernilai jutaan ringgit.
"Daging dalam keadaan baik cuma tidak halal dianggarkan lapan juta tan cukup untuk kegunaan setahun.
"Ia secara tidak langsung membantu Zoo Negara dari segi penjimatan kos pembelian daging bernilai jutaan ringgit," katanya.