JAKARTA - INDONESIA. Debat pusingan kedua antara Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan pencabarnya, Prabowo Subianto, semalam di Hotel Sultan di Jakarta berlangsung panas selepas sesi pertama yang memberi tumpuan kepada undang-undang dan hak asasi manusia mengecewakan rakyat negara itu.
Kedua-dua calon presiden (capres) itu hadir tanpa pasangan regu masing-masing untuk membahaskan polisi mereka tentang infrastruktur usang, kebakaran hutan, isu petani dan tenaga tanpa bantuan soalan seperti sebelum ini.
Perkara yang mendapat perhatian pada sesi debat kali ini adalah ketika Jokowi bertanyakan Prabowo tentang strategi beliau untuk membina infrastruktur bagi menyokong industri 'unicorn' di negara itu.
Jeneral bersara terbabit yang kelihatan tidak pasti dengan soalan itu bertindak mengajukan pertanyaan semula kepada Jokowi.
"Maksud anda..unicorn online?" katanya sambil menjawab beliau menyokong perniagaan dalam talian.
Kekeliruan Prabowo disambut gelak ketawa para hadirin yang menyaksikan debat itu hingga ia menjadi bahan jenaka pengguna media sosial, sekali gus 'unicorn' menjadi simbol tidak rasmi sesi debat pusingan kedua itu.
Istilah 'unicorn' sering digunakan dalam perusahaan perintis teknologi untuk syarikat yang memiliki nilai pasaran AS$1 bilion (RM4 bilion) dan kini terdapat empat unicorn di Indonesia dan dijangka mempunyai lebih lima menjelang 2019.
Beralih kepada isu infrastruktur, Jokowi menjelaskan di bawah pentadbirannya laluan tol sepanjang lebih 600 kilometer dikenali sebagai Trans Jawa telah dibina di Pulau Jawa.
Tetapi, Prabowo mendakwa pasukan beliau tidak bekerja dengan cekap kerana banyak projek kerajaan dijalankan tanpa kajian yang wajar.
Setuju guna biotenaga
Walaupun terdapat percanggahan pendapat, kedua-dua capres berjanji untuk mencapai tenaga mampu diri dengan meningkatkan penggunaan biotenaga terutamanya menggunakan minyak kelapa sawit bagi mengurangkan kos import minyak yang mahal di negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.
Menerusi sesi debat itu, Jokowi berkata, kerajaan merancang melaksanakan program B100 merujuk kepada bahan bakar dibuat sepenuhnya daripada minyak kelapa sawit jika beliau dapat mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua.
Langkah itu bakal dikuatkuasakan selepas pentadbiran beliau mewajibkan penggunaan biodiesel mengandungi 20 peratus kandungan bio (B20) pada tahun lalu.
"Kami berharap 30 peratus daripada keseluruhan pengeluaran kelapa sawit akan menjadi biominyak. Rancangan ini jelas. Jadi, kami tidak akan bergantung kepada minyak import," katanya sambil menambah pengeluaran minyak sawit mentah mencecah 46 juta tan setahun.
Pesaingnya, Prabowo Subianto juga bersetuju dengan kepentingan biotenaga dan berjanji jika dilantik sebagai presiden, beliau akan meningkatkan penggunaan minyak kelapa sawit, gula kabung, ubi kayu dan etanol dari gula (tebu).
Prabowo bagaimanapun tidak mengulas lanjut tentang rancangan biotenaga tersebut, namun pasukan kempennya telah mencadangkan penggunaan jutaan hektar tanah terbiar untuk mengusahakan gula kabung untuk menghasilkan tenaga.
Walaupun jeneral bersara itu bersetuju dengan Jokowi dalam beberapa perkara ketika perbahasan itu, beliau menegaskan tanah dan air serta sumber di dalamnya perlu dikawal kerajaan.
"Kerajaan perlu memainkan peranan untuk memperbetulkan ketidaksamaan dalam kekayaan," jelasnya merujuk kepada petani kecil yang sepatutnya jumlah mereka lebih besar.
Hal ini kerana golongan itu hanya menguasai kira-kira 40 peratus daripada 12 juta hektar ladang kelapa sawit.
Sementara itu, beberapa pakar melihat Jokowi telah melakukan persediaan awal untuk berhujah pada kali ini walaupun Prabowo dengan lantang mengkritik beliau. - Agensi