PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengharapkan Edinson Cavani dan Paul Pogba akan terus kekal di Old Trafford musim depan.
Cavani dan Pogba dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan lain musim depan apabila masih belum menandatangani sebarang kontrak yang bakal berakhir musim ini.
"Paul tahu saya mahu dia terus kekal di sini. Pasukan sentiasa berusaha untuk memastikan suasana yang baik dan menjadikan pasukan ini kompetitif dan pencabar kejuaraan.
"Paul dan Edinson adalah pemain bintang yang berpengalaman, tetapi mereka juga manusia. Sangat penting untuk memastikan mereka gembira berada di sini dan bermain bersama United," katanya.
Dalam masa sama, Solskjaer mengharapkan prestasi membanggakan yang dicapai United ketika ini akan menjadi antara faktor utama memastikan Pogba dan Cavani kekal di Old Trafford.
"Jika kami mampu bermain seperti menang 6-2 ke atas Roma dalam setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), maka peluang untuk United kekalkan mereka berdua amat tinggi," ujarnya.
Cavani dan Pogba menjadi tonggak utama dalam kebangkitan United musim ini terutamanya di pentas EPL yang menyaksikan The Red Devils berada di kedudukan kedua liga selain selangkah untuk mara ke final Liga Europa.
Namun, spekulasi mengenai kedua-dua pemain itu meninggalkan Old Trafford bertiup kencang tatkala Cavani dan Pogba terus dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi Eropah menjelang saingan musim depan.