Pesakit kanser dibawa pulang beraya ke kampung dengan helikopter

Iklan
Penerbangan ihsan yang membawa Noraifa tiba kira-kira jam 12 tengah hari di Padang SK Bukit Hijau, Mukim Derang, Pokok Sena pada Ahad.

POKOK SENA - Hasrat seorang pesakit kanser otak tahap tiga yang mahu pulang beraya di kampung halamannya di Kampung Bukit Hijau, Mukim Derang, dekat sini direalisasikan dalam satu penerbangan ihsan menggunakan helikopter dari Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka, Langkawi jam 11.00 pagi pada Ahad.

Usaha digerakkan aktivis masyarakat, Natipah Abu, 38, itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk bilionair yang juga Pengarah Urusan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim untuk membantu Noraifa Azira Abdul Aziz, 14.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerja kebajikan itu juga mendapat kerjasama Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) Sik dan Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (YJM) yang membantu memindahkan Nuraifa sebaik tiba di Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau pada jam kira-kira 12 tengah hari dan dibawa dengan ambulans ke kampung halamannya.

"Noraifa menyatakan hasrat mahu beraya di rumah datuk dan neneknya, Azmi Harun, 63, dan Siti Hawa Osman, 63, di Kampung Bukit Hijau pada minggu lepas. Setiap hari dia akan tanya ibunya bila dia dapat balik kampung kerana sudah tiga tahun tidak dapat pulang beraya.

Iklan

"Saya terharu kerana pelbagai pihak membantu menunaikan hajat Noraifa termasuk Setiausaha Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Datuk Kamil Din; pihak sekolah di Langkawi dan SK Bukit Hijau kerana membenarkan menggunakan padang untuk helikopter mendarat," katanya ketika di temui media pada Ahad.

Jelas Natipah, pengangkutan awam seperti feri dan juga perkhidmatan feri Roll On-Roll Off (RoRo) dilihat tidak sesuai kerana mengambil tempoh lama, tidak selesa selain perlu mengurangkan pergerakan Noraifa semasa dalam perjalanan pulang ke Pokok Sena.

Iklan

Sementara itu, ibu Noraifa, Roslina Aswira, 38, berkata, kegembiraan jelas terpancar di wajah anak sulung daripada lima beradik itu sebaik tiba di kampung halamannya.

"Dia mula dikesan menghidap penyakit ini semasa berusia 8 tahun dan pembedahan dilakukan untuk membuang ketumbuhan di kelenjar otak, selepas itu dia kembali sembuh dan pergi sekolah seperti biasa.

"Namun pada usia 11 tahun, penyakit itu kembali dikesan dan ketumbuhan itu tidak hilang dan didapati membesar sedikit demi sedikit.

"Nuraifa mula terlantar sejak berusia 13 tahun dan sehingga kini. Sejak itu, dia tidak dapat bergerak termasuk tidak dapat balik ke kampung sejak tiga tahun lalu," katanya.

Tambahnya, pertolongan yang dihulurkan pihak berkaitan itu juga meringankan beban suaminya, Abdul Aziz Din, 43 yang bekerja sebagai mekanik dan memperoleh pendapatan sekitar lebih RM1,000 sebulan.

Pada Sabtu, tular kenyataan Natipah di Facebook yang memohon bantuan mana-mana pihak untuk membantunya merealisasikan impian Noraifa yang terlantar selepas menghidap kanser otak tahap tiga.