ALOR SETAR - Kedah Darul Aman (KDA) FC terpaksa akur tanpa sokongan penyokong setia mereka apabila menerima kunjungan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi ke-12 di Stadium Darul Aman pada Selasa ini.
Pengendali Hijau Kuning, Aidil Sharin Sahak mengakui pasukannya kehilangan salah satu tonik berguna iaitu suara sokongan dan semangat penyokong buat anak-anak buahnya sepanjang perlawanan berlangsung.
Menurutnya, sokongan pemain ke-12 sentiasa membakar semangat KDA FC untuk terus berjuang sehingga ke wisel penamat dalam setiap perlawanan.
"Ketiadaan penyokong yang hadir di dalam stadium pada Selasa akan memberikan suasana berlainan dari sebelum ini untuk kami yang kini bersemangat untuk memburu kemenangan selepas menang ke atas Melaka United.
"Setiap penyokong Hijau Kuning yang hadir ke stadium sebelum ini berjaya memberikan kami motivasi serta 'tenaga' tambahan untuk kami berjuang memburu tiga mata," katanya.
Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, beliau percaya penonton juga turut merasa kecewa seperti dirinya namun mereka perlu akur dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Katanya, semangat dan motivasi setiap pemain perlu terus kekal tinggi dan mereka akan berusaha sebaik mungkin dalam menyempurnakan impian penyokong untuk terus mencatatkan kemenangan pada setiap perlawanan.
"Kini hanya bekalan kata-kata semangat kepada KDA FC yang akan dilihat oleh pemain-pemain sebelum mereka turun beraksi menantang JDT nanti," katanya lagi.
Hijau Kuning kini berada di tangga kedua liga dengan 23 mata selepas 11 perlawanan dan hanya dibezakan satu mata dengan JDT yang kini mengumpul 24 mata.
Kota Setar antara lima daerah yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kedah bermula 1 Mei hingga 14 Mei ini sehingga menyaksikan penonton turut dilarang masuk ke stadium untuk menyaksikan perlawanan.