PORT DICKSON- Setiap parti komponen PH perlu berpegang kepada amalan status quo bagi membuat keputusan dalam menentukan parti dan calon yang akan bertanding PRK DUN Rantau.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, secara tradisinya kerusi DUN berkenaan adalah milik PKR.
"Jika kita tengok selepas PRK14, berlaku beberapa siri PRK iaitu Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Cameron Higland dan Semenyih, semuanya mengikut status quo.
"Calon yang bertanding adalah daripada parti yang bertanding sebelum atau semasa PRU14. Kalau kerusi DUN Rantau milik PKR, ia tetap milik PKR. Di Semenyih milik Bersatu pada PRU14, begitu juga pada PRK diadakan sekarang. Belum ada tanda-tanda, kita akan bergerak daripada amalan itu,”katanya pada sidang selepas merasmikan Stesen Minyak BHPetrol Sepang Lukut di Taman Perindustrian Lukut di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangannya di kerusi DUN Rantau pada PRU14 adalah tidak sah dan terbatal.
Menurutnya, atas kesepakatan gabungan itu, PKR juga tidak pernah melanggar status quo sedia ada dan keputusan biasanya dibuat melalui Majlis Presiden PH.
Mengenai soal calon pula, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata, kelebihan akan diberi kepada parti yang akan bertanding.
"Tapi bukan bermakna ketika muktamadkan calon, parti itu harus belakangkan PH kerana akhirnya kesemua pimpinan tertinggi PH yang sama-sama mendokongnya.
"Sebab itu pandangan dari sahabat dalam PH turut perlu diambil kira,” katanya.