Malaysia-Singapura benar rentas sempadan atas sebab kecemasan

Iklan
Hishammuddin (kiri) bergambar bersama Dr Vivian Balakrishnan semasa mengadakan lawatan rasmi ke Singapura hari ini. - Foto Bernama

SINGAPURA - Malaysia dan Singapura bersetuju mewujudkan peraturan Keperluan Prosedur dan Kemasukan bagi Lawatan Kecemasan berkaitan Kematian dan Penyakit Kritikal (DCEV) untuk kedua-dua negara, dengan pelaksanaan peraturan rentas sempadan yang ketat.

Menurut kenyataan bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, peraturan itu akan dilaksanakan bermula dari 17 Mei.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu persetujuan berkenaan menyediakan kerangka kerja bagi membolehkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara atas sebab-sebab ihsan dan kecemasan.

"Perincian mengenai keperluan prosedur dan kemasukan akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara masing-masing, yakni Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA)," katanya.

Iklan

Hishammuddin kini berada di sini untuk lawatan rasmi dua hari bermula pada Sabtu atas undangan Balakrishnan, selain sebagai membalas lawatan kerja Balakrishnan ke Malaysia baru-baru ini dan ia merupakan lawatan rasmi Hishammuddin yang yang pertama ke Singapura sebagai Menteri Luar Malaysia.

Menurut kenyataan itu walaupun berhadapan dengan cabaran dalam menghadapi pandemik Covid-19, kedua-dua menteri berpuas hati dengan hubungan dua hala dan kerjasama yang kekal kukuh dan mantap, sebagaimana yang dibuktikan menerusi pergerakan barang dagangan yang tidak terjejas antara kedua-dua negara.

Iklan

Menurutnya kedua-dua menteri mengadakan perbincangan yang konstruktif berhubung peningkatan kerjasama di tengah pandemik, dan kedua-duanya bersetuju ke arah usaha mengembalikan perjalanan rentas sempadan secara beransur dan selamat.

Mereka juga menyambut baik persetujuan yang dicapai oleh Singapore Smart Nation and Digital Government Office dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia berhubung verifikasi teknikal bersama sijil kesihatan yang dikeluarkan oleh Singapura dan Malaysia.

Mereka bersetuju kedua-dua negara akan meneruskan pelaksanaan program vaksinasi negara masing-masing untuk memvaksin penduduk jangka panjang, termasuk rakyat Malaysia yang menetap di Singapura dan rakyat Singapura yang menetap di Malaysia.

Kenyataan itu juga berkata, kedua-dua menteri bersetuju untuk meneruskan perbincangan mengenai langkah-langkah pembukaan semula sempadan, yang akan dilaksanakan mengikut situasi Covid-19 di kedua-dua negara, dan keselamatan serta kesihatan penduduk.

Kedua-dua menteri juga menyambut baik saling perjumpaan, susulan lawatan Balakrishnan ke Kuala Lumpur pada Mac 2021 dan lawatan semasa Hishammuddin ke Singapura.

Mereka juga bersetuju dengan kepentingan untuk menyambung semula Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 di Singapura tahun ini, sebaik sahaja keadaan pandemik beransur pulih.

Susulan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin ASEAN di Jakarta pada 24 April, kenyataan itu berkata, kedua-dua menteri turut berbincang mengenai perkembangan di Myanmar.

"Mereka bersetuju betapa penting bagi ASEAN dan negara anggota untuk terus memainkan peranan yang positif dan konstruktif dalam membantu mencari penyelesaian yang aman dan berpanjangan demi kepentingan rakyat Myanmar dengan membuat susulan kepada Kenyataan Pengerusi dan"Persetujuan Lima Perkara," kata kenyataan itu. - Bernama