[DIKEMAS KINI] KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) yakin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat memenuhi semua aspek pematuhan protokol Covid-19 yang diperlukan dalam penganjuran kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2021 yang dijadual hujung bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa itu memerlukan protokol pengurusan yang lebih besar dan berbeza memandangkan ia disertai atlet dari pelbagai negara.
"Secara dasarnya saya yakin BAM mampu menguruskan kejohanan ini dan kami (KBS) akan menyokong usaha dilakukan BAM termasuk sokongan dari segi penyediaan kerangka gelembung sukan dalam memastikan penganjuran kejohanan ini dapat diadakan dengan selamat dan memenuhi keperluan SOP yang ditetapkan.
"Saya akan bawa perkara itu untuk perhatian dan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), jadi kita perlu tunggu hasil pembentangan (berhubung penganjurannya) serta melihat perkembangan terkini antara BAM dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF)," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, segala keperluan protokol Covid-19 itu perlu diberi perhatian bagi memastikan penyertaan atlet dunia ke Badminton Terbuka Malaysia 2021 tidak terjejas sehingga boleh memberi kesan kepada status kejohanan itu.
Reezal Merican berkata, ketika ini juga terdapat beberapa negara yang sudah mengeluarkan nasihat perjalanan ke Malaysia serta beberapa negara lain, dan dalam masa sama beberapa negara turut dilarang memasuki Malaysia seperti India.
"Saya difahamkan banyak negara yang akan menyertai Badminton Terbuka Malaysia 2021 kerana ia sebuah pertandingan berprestij," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Reezal berkata, baki perlawanan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan berlangsung seperti biasa walaupun andainya kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaru dalam masa terdekat.
Katanya, ini kerana MFL serta beberapa kejohanan lain seperti Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sudah diberi kelulusan oleh MKN sewaktu model pelaksanaan PKP sebelum ini.
"Semua pemain dan jurulatih berada dalam model gelembung sukan dan tidak ada pelanggaran kepada PKP, jadi tidak ada kesan dan masih boleh diteruskan. Cuma bezanya jika ada PKP, perlawanan selepas ini tidak akan dihadiri penonton," katanya. - Bernama