MINGGU lalu, gegak gempita satu negara gara-gara kompaun RM50,000 yang dikenakan ke atas individu dan para peniaga yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Bermula dengan kisah Neelofa yang didenda RM20,000 kerana majlis resepsi yang tiada penjarakan sosial dan kesalahan merentas negeri, suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail pula dikenakan kompaun RM10,000 juga atas kesalahan merentas negeri.
Namun paling menggegarkan kisah peniaga burger di negeri Cik Siti Wan Kembang yang menerima ‘surat cinta’ RM50,000 iaitu lebih tinggi daripada Neelofa kerana berniaga lebih masa di depan rumahnya.
Kisah peniaga burger itu benar-benar meletakkan ramai rakyat Malaysia dalam situasi bolak-balik kerana ketika sesetengahnya membela peniaga itu dan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa, selepas disiasat rupa-rupanya ia bukanlah kesalahan pertama lelaki berkenaan.
Bagaimanapun, selain peniaga burger itu, penguatkuasaan ketat SOP di Kelantan menyebabkan beberapa peniaga kecil lain seperti pemilik kedai runcit turut menerima surat kompaun RM50,000.
Walaupun pak menteri sudah beberapa kali mengatakan jumlah kompaun itu boleh dikurangkan dengan rayuan, namun tanyalah mana-mana peniaga kecil, menerima ‘surat cinta’ RM50,000 boleh membuatkan sesiapa sahaja pasti susah hati.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menyifatkan kompaun RM50,000 yang dikenakan secara sama rata ke atas semua peniaga adalah tidak wajar kerana terdapat pelbagai jenis peniaga dan usahawan, ada yang berpendapatan besar, ada juga sekadar bisnes balik modal.
"Kompaun sebanyak RM50,000 tidak wajar dan tak masuk akal. Namun tidak adil untuk menyalahkan penguatkuasa kerana yang meluluskan undang-undang adalah kerajaan.
"Ini juga menunjukkan bahawa ordinan undang-undang negara ada kekurangan dan kerajaan sepatutnya mengambil tanggungjawab mengkaji semula ordinan darurat berkenaan dengan kawalan penyakit berjangkit.
"Walaupun denda yang tinggi mungkin cara untuk rakyat patuh SOP tetapi rakyat marhaen disaman dengan jumlah tidak masuk akal. Jadi ini tak wajar,” kata Boon Chye.
Kompaun ikut jenis perniagaan
Beliau turut mencadangkan langkah-langkah yang sepatutnya diambil berat oleh kerajaan untuk menyelesaikan isu kompaun yang tidak selari.
"Sepatutnya ada satu sistem di mana peniaga kecil-kecilan seperti perniagaan runcit atau gerai yang melakukan kesalahan ringan dikompaun mengikut jumlah yang bersesuaian, manakala perniagaan besar seperti syarikat berdaftar disaman dengan jumlah yang lebih tinggi.
"Ada dua perkara yang patut dipertimbangkan. Pertama, dari segi setakat mana seriusnya pelanggaran SOP. Kedua, dari segi apakah impak kesalahan SOP tersebut dan adakah mereka yang dikenakan kompaun mampu membayar atau tidak,” katanya yang melihat sekiranya isu denda RM50,000 itu tidak ditangani, ia pasti akan terus menjadi kontroversi pada masa depan.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid pula menyatakan, bahawa niat kerajaan mengenakan kompaun sebenarnya adalah untuk mendidik bukan menghukum.
"Peraturan yang dibuat ini adalah hukuman mendidik. Maknanya perlu pertimbangan, kewarasan dan bijaksana daripada kedua pihak.
"Polis tak salah dan undang-undang pun tak salah. Tapi yang salah apabila tiada pertimbangan. Tidak menjadi kesalahan sesiapa kerana terdapat peruntukan membolehkan denda sehingga RM50,000,” katanya.
Rosol juga menjelaskan kesan dan mengapa kompaun dikenakan bagi mereka yang melanggar SOP.
"Sekarang kita berada dalam situasi peraturan yang tak pernah berlaku sebelum ini. Jika kerajaan mengambil ringan, kemungkinan orang ramai tidak mengambil berat dan kes makin bertambah.
"Setiap benda ada baik dan buruknya. Kesan baiknya memberi pengajaran kepada orang ramai supaya patuh kepada apa yang diminta oleh peraturan dan undang-undang.
"Saya yakin kerajaan tidak ada niat untuk nak bebankan rakyat tetapi lebih kepada memastikan bahawa rantaian Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.
Peguam yang juga merupakan ahli politik DAP, Syahredzan Johan berpandangan bahawa keberkesanan untuk meningkatkan kompaun itu masih samar dan ordinan patut lebih terperinci.
"Saya masih tidak nampak keberkesanan atau perlunya peningkatan kompaun kepada rakyat. Apabila sektor ekonomi dibuka, secara semula jadi akan ada peningkatan dalam jangkitan. Jadi isu ini bukan datang daripada orang tidak patuh SOP.
"Saya faham tujuan kerajaan nak tingkatkan pematuhan SOP, namun ada cara yang lebih baik seperti memperincikan dengan jelas dalam ordinan apa kesalahan yang patut dikompaun.
"Bukan memberi satu cek kosong kepada penguasa untuk kenakan kompaun. Itu bukan kaedah yang terbaik kerana akhirnya ada pelbagai sebab mengapa orang tak ikut SOP.
"Mereka ini bukan sengaja nak langgar tetapi terpaksa berniaga lebih masa. Saya juga tidak faham kenapa ada isu tempoh masa untuk berniaga kerana Covid-19 tidak mengenal masa untuk menyerang,” katanya.
Oleh kerana kekeliruan rakyat terhadap kompaun semakin meningkat, Syahredzan turut memberikan cara terbaik dari sudut undang-undang yang perlu dilakukan jika seseorang itu disaman kerana melanggar SOP.
"Ada dua pilihan jika kita dikenakan kompaun sama ada membayar kompaun tersebut atau lawan di mahkamah. Cara yang terbaik adalah pergi ke pejabat kesihatan daerah (PKD) terdekat untuk membuat rayuan dan lihat berapa jumlah yang perlu dibayar.
"Jika jumlah yang perlu dibayar masih terlalu tinggi, saya cadangkan untuk mendapatkan khidmat peguam dan lawan di mahkamah kerana majistret akan lebih memahami.
"Bila didakwa di mahkamah dan mengaku salah, kita boleh minta untuk kurangkan jumlah denda yang dikenakan. Namun, risikonya adalah orang yang dituduh di mahkamah itu mungkin dipenjarakan dalam jangka masa yang pendek seperti satu hari,” katanya.
Di bawah Akta 342 Ordinan Darurat, kompaun dikenakan berdasarkan tiga kategori kesalahan (Tinggi, Sederhana, Normal)
- Kategori tinggi ialah kesalahan yang menyebabkan penularan yang tinggi kepada komuniti dalam skala besar.
- Sederhana adalah kesalahan yang menyebabkan penularan tinggi tetapi tidak memberi impak besar jangkitan kepada komuniti, manakala normal adalah kesalahan yang boleh menyebabkan risiko rendah
- Pesalah pertama kali dalam kategori ‘normal’ - seperti tidak memakai pelitup muka dengan betul akan didenda RM1,500
- Kesalahan kategori ‘tinggi’ seperti pengunjung kelab malam yang akan dikenakan denda maksimum RM10,000
- Pesalah individu boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 manakala syarikat boleh didenda tidak lebih daripada RM50,000
Kerajaan menawarkan diskaun antara 50 ke 25 peratus sekiranya pesalah membayar denda awal