MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi jaminan bahawa kerajaan akan melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun dalam tempoh terdekat.
Kenyataan Takiyuddin tersebut disambut baik oleh banyak pihak yang sebelum ini menuntut agar kerajaan memberi peluang kepada golongan berusia 18 tahun menjadi pengundi secara sah di negara kita.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan apakah pelaksanaan tersebut dapat dikuatkuasakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau tidak.
Memandangkan semua parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengalu-alukan penglibatan golongan remaja bagi menentukan hala tuju politik negara, pihak kerajaan kini perlu mengambil langkah proaktif agar pelaksanaan itu menjadi kenyataan.
Pada 16 Julai 2019, sejarah tercipta apabila Rang Undang-undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur mengundi dari 21 ke 18 tahun disokong oleh semua 222 ahli Parlimen dan diluluskan dalam Dewan Rakyat.
Oleh itu, kini tidak menjadi sebarang halangan besar lagi bagi kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan suara anak muda dapat diterima pada PRU15.
Berbanding dengan jaminan dibuat Takiyuddin untuk dilaksanakan dalam ‘tempoh terdekat’, lain pula jawapan diberikan SPR.
Pada 25 Mac lalu, SPR mengumumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya dapat dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Menurut Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, ia disebabkan pihaknya terpaksa mendepani situasi semasa negara yang sedang bergelut dengan penularan Covid-19.
Sekiranya pandemik Covid-19 membantutkan usaha SPR merealisasikan impian golongan muda yang berhak bersuara dalam negara kita, ia sesungguhnya satu perkara yang mendukacitakan.
Adanya penyertaan pengundi 18 tahun pada PRU15, politik Malaysia selepas itu sudah tentu mampu menyerap lebih banyak suara anak muda yang sentiasa menginginkan pembaharuan.