MHS, PUGM rai golongan kurang bernasib baik sempena Ramadan

Iklan
Muzamir (tengah) menyampaikan sumbangan baju dan duit raya untuk 26 anak yatim yang menghuni Rumah Bakti Nur Ain, Bangi.

SHAH ALAM - Seramai 71 orang anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Sabak Bernam dan Rumah Bakti Nur Ain, Bangi diraikan dalam Majlis Amal Nur Kasih Ramadan anjuran Mardhiyyah Hotel & Suites (MHS) dengan kerjasama Yayasan Abadi di sini baru-baru ini.

Pengarah Urusan MHS, Datuk Seri Mohamed Rafik Mohd Idris berkata, majlis berbuka puasa amal itu diadakan setiap tahun untuk menceriakan anak-anak yatim dan menjadikan bulan Ramadan lebih bermakna buat mereka.

Iklan
Iklan

"Sempena Ramadan, kami ingin berkongsi rezeki dengan anak-anak ini untuk menghidupkan semangat ingin beramal dan sifat murah hati.

"Majlis ini turut membawa kegembiraan dan senyuman kepada anak-anak ini apabila mereka diberikan hadiah duit raya dan saguhati sumbangan Yayasan Abadi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Amal Nur Kasih Ramadan di MHS di sini baru-baru ini.

Iklan

Hadir sama, Pengarah MHS, Muhamad Munzir Mohamed Rafik dan Pengurus MHS, Mohd Ghazali Sayed Ibrahim.

Mohamed Rafik (barisan ketiga, tiga dari kiri) bersama anak-anak yatim dari Rumah Bakti Nur Ain, Bangi yang diraikan pada Majlis Amal Nur Kasih Ramadan di MHS baru-baru ini.

Sementara itu, Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) menyumbangkan keperluan asas seperti makanan, perkakas memasak, baju raya dan duit raya kepada penghuni beberapa rumah kebajikan di Selangor.

Iklan

Presidennya, Datuk Muzamir Mustafa berkata, sempena Program Nur Ramadhan 2021 itu, PUGM menyantuni anak-anak yatim dan warga emas di Rumah Bakti AlKausar serta Rumah Bakti Nurain di Bandar Baru Bangi; Pusat Jagaan Warga Emas Murni Kaseh di Bukit Beruntung, Hulu Selangor dan Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang.

"Tahun ini tiada jamuan berbuka puasa dianjurkan untuk meraikan golongan kurang bernasib baik, justeru kita menyantuni mereka dengan berkunjung ke kediaman mereka. Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama untuk menjayakan program ini,” katanya.