Musim candat sotong kembali dengan SOP lebih ketat

Iklan
Penganjuran aktiviti candat sotong di Terengganu bermula April hingga September depan akan melalui prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat bagi mengelak penularan Covid-19. Gambar kecil: Ariffin

KUALA NERUS - Kerajaan negeri Terengganu bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu akan membincangkan kaedah sesuai bagi membolehkan orang luar merasai pengalaman sempena musim mencandat sotong di negeri ini.

Exco Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, penganjuran aktiviti candat sotong di Terengganu bermula April hingga September depan akan melalui prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Perkara ini akan dibincangkan secara terperinci terutama melibatkan SOP yang bersesuaian untuk memastikan pelancong luar boleh masuk ke Terengganu bagi menyertai aktiviti candat sotong," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis moreh bersama media di sini pada malam Ahad.

Ariffin berkata, beberapa gimik promosi akan dilakukan selepas Aidilfitri bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

Iklan

"Aktiviti candat sotong akan diteruskan tahun ini dengan SOP yang lebih ketat. Kita juga akan melakukan pemeriksaan terperinci terhadap semua peserta bagi memastikan mereka sihat dan boleh menyertai aktiviti itu.

"Selain itu, kita juga akan meneliti sama ada kebenaran menyertai aktiviti ini hanya boleh diberikan kepada mereka yang sudah lengkap menerima dos vaksin, atau telah menjalani ujian calitan dan disahkan sihat sebelum memasuki Terengganu," ujarnya.

Iklan

Sementara itu, Ariffin berkata, pengusaha bot bagi aktiviti candat sotong turut bersedia mengurangkan sebanyak 50 peratus jumlah peserta berbanding biasa.

"Semua pengusaha bot telah bersedia mematuhi peraturan ditetapkan supaya aktiviti mencandat sotong dapat berjalan lancar.

"Jumlah peserta biasanya dalam kapasiti 20 orang akan dikurangkan mungkin menjadi 12 orang bagi sebuah bot. Ia juga bergantung kepada muatan bagi sesebuah bot," kata beliau.