Syukur biskut raya masih dapat sambutan

Iklan
Nor Haslinda menunjukkan biskut tart nyonya yang mendapat permintaan daripada pelanggan.

SEREMBAN - Meskipun Aidilfitri tahun ini masyarakat Islam sekali lagi menyambutnya dalam keadaan ala kadar susulan pandemik Covid-19, namun seorang suri rumah yang menjana pendapatan dengan menjual biskut raya mampu menarik nafas lega kerana masih lagi menerima tempahan pelanggan.

Jika tahun lalu tempahan biskut tart nyonya yang diterima Nor Haslinda Chua Abdullah, 42, hanya 200 bekas, tetapi kali ini meningkat sekali ganda kepada 400 bekas.

Iklan
Iklan

"Saya bersyukur kerana tempahan diterima lebih baik berbanding Ramadan tahun lalu sehinggakan saya terpaksa menutup tempahan.

"Tak menang tangan dibuatnya kerana saya menyiapkan tempahan pelanggan ini seorang diri di rumah," katanya yang tinggal di Taman Tasik Jaya di sini.

Iklan
Tempahan pelanggan yang sudah disiapkan Nor Haslinda.

Selain dari tart nyonya, ibu kepada empat orang cahaya mata ini juga turut menerima tempahan biskut mazola dan semperit.

Menurutnya, jika sambutan Aidilfitri sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dia mampu menerima tempahan sehingga 1,000 bekas.

Iklan

"Sejak 10 tahun lalu selepas buat keputusan berhenti kerja, inilah cara saya jana pendapatan bukan sahaja pada musim perayaan tapi juga pada hari biasa.

"Dengan berniaga dari rumah, saya boleh jana pendapatan pada bulan Ramadan sahaja sehingga RM10,000," katanya.

Nor Haslinda menyiapkan tempahan pelanggan.

Ujarnya, tart nyonya dipelajari dari kedua ibu bapanya berketurunan bapa dan nyonya menjadi biskut utama yang dijual kepada pelanggan.

"Sebelum ini kedua ibu bapa saya juga pernah menjalankan perniagaan sama di Melaka," katanya.

Nor Haslinda berkata, dia tidak menyangka pilihan untuk meneruskan legasi orang tuanya dengan cara mengambil tempahan secara dalam talian membuatkan hasil.

"Tapi orang berniaga ini ada pasang surutnya. Macam saya tidaklah rasa terjejas sangat kerana saya buat bisnes secara kecil-kecilan dari rumah.

"Apa-apa pun saya percaya pada rezeki dan harapnya kita dapat menjalani perayaan Aidilfitri secara normal semula pada tahun hadapan," katanya.

Tart nyonya biskut utama yang dijual Nor Haslinda.