Pulau Pinang sokong penubuhan MRBA

Iklan
Jelani Maidinsa

GEORGETOWN - Pulau Pinang menyokong pengumuman Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengenai cadangan penubuhan Lembaga Lembangan Sungai Muda (MRBA).

Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, sebelum ini pihaknya mencadangkan kerajaan menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (UMBA) untuk menyusun dan melaksanakan Rancangan Lembangan Ulu Muda bagi kepentingan 4.2 juta orang penduduk di utara.

Iklan
Iklan

Namun tidak lama kemudian, Jaseni berkata, Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Zaini Ujang dipetik dalam sebuah laporan berita menyatakan bahawa penubuhan MRBA akan menyelesaikan pertelingkahan antara Kedah dan Pulau Pinang ke atas Sungai Muda.

Jelasnya, dari segi konsep, perbezaan antara UMBA yang dicadangkan Pulau Pinang dan MRBA yang dicadangkan oleh KASA adalah cadangan Pulau Pinang adalah untuk melindungi tadahan air di Empangan Muda, Pedu dan Ahning sementara cadangan oleh KASA hanya terbatas untuk melindungi lembangan Sungai Muda.

Iklan

"Cadangan Pulau Pinang adalah untuk melindungi tadahan air Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sementara MRBA terhad hanya untuk melindungi lembangan sungai Selatan Kedah.

"Ini bermaksud kawasan tadahan air merujuk kepada hutan hujan dan anak sungai sebelum empangan, sementara itu lembangan sungai pula merujuk kepada sub-tadahan anak sungai selepas empangan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Iklan

Jaseni berkata, disebabkan itu semua pihak perlu melindungi kawasan tadahan air yang menjadi permulaan lembangan sungai.

Katanya, air yang mengalir melalui Sungai Muda sebenarnya adalah air hujan yang dikumpulkan di hutan hujan Ulu Muda dan anak sungai Lembangan Sungai Muda selepas Empangan Muda.

"Ulu Muda mesti dilindungi dan dipelihara (secara sah, sepenuhnya dan secara mampan) sebagai sumber air mentah terpenting di NCER. Ini untuk melestarikan hasil Sungai Muda ketika cuaca kering.

"Ulu Muda mengumpulkan 70 peratus air mentah bagi Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah manakala Pulau Pinang mengabstrak lebih 80% air mentahnya dari Sungai Muda setiap hari.

"Oleh itu, kesihatan dan kesejahteraan tiga negeri NCER berkait secara langsung dengan kesihatan serta kesejahteraan hutan hujan Ulu Muda," katanya.