KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) terpaksa membekukan cuti kakitangannya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi melawan pandemik Covid-19 yang semakin kritikal.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin berkata, langkah tersebut terpaksa diambil susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negeri ini.
"Kita telah optimakan penggunaan tenaga kerja dalam 'berperang' melawan pandemik ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Isnin.
Menurutnya, sehingga kini keupayaan Kelantan dalam melawan wabak Covid-19 sudah mencecah 85 peratus.
"Situasi itu menunjukkan Kelantan berada dalam keadaan kritikal ketika ini.
"JKNK telah mendapat bantuan kakitangan dari negeri-negeri lain dan sudah digerakkan ke hospital-hospital yang diperlukan," katanya.
Katanya, rakyat di negeri ini terus diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
"Hal ini bagi memastikan rantaian pandemik Covid-19 berjaya diputuskan dengan sebaik mungkin," katanya.