MELAKA - Kerajaan negeri Melaka membayangkan negeri ini akan bertukar status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekiranya kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan.
Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, ini memandangkan tiga daerah telah bertukar kepada zon merah, bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, kes Covid-19 yang merekodkan penambahan dan dikhuatiri tren peningkatan itu akan berterusan sehingga Hari Raya Aidilfitri susulan banyak saringan yang sedang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka membabitkan kontak rapat, kontak kerja dan kontak sosial.
"Tidak dinafikan banyak kluster baharu direkodkan dalam tempoh dua minggu dan majoriti kes berpunca daripada aktiviti rentas negeri sama ada tujuan bekerja atau urusan-urusan lain yang dibenarkan.
"Jujur saya merasakan ada kemungkinan kita akan kembali ke PKPB disebabkan tren kes semakin naik.
"Disebabkan kurang pematuhan prosedur operasi standard (SOP), individu yang dijangkiti telah membawa balik ke Melaka seterusnya menjangkiti ahli keluarga, rakan sekerja, komuniti dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, jumlah katil yang menempatkan pesakit Covid-19 di negeri ini masih mencukupi dan sejak dua hari lalu, hanya 56.8 peratus jumlah katil dipenuhi berbanding 117 yang disediakan.
"Sekiranya berlaku peningkatan, Hospital Melaka berupaya meningkatkan kapasiti katil sehingga 300 katil pada satu-satu masa," katanya.