SHAH ALAM - Semua perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diberikan ruang seluas-luasnya bagi membahaskan apa-apa isu berkaitan parti itu di pentas Kongres Nasional PKR yang bakal berlangsung pada 5 dan 6 Jun depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ia termasuklah penularan klip audio antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita buka kepada perbahasan daripada wakil negeri, pembahas wanita dan pembahasan pemuda kita benar mereka berbahas topik seluas langit dan bumi. Dia (perwakilan) nak bahas apa dia bahaslah.
"Lagipun ini Kongres Nasional tahunan, mereka patut diberi ruang seluas-luasnya untuk diberi pandangan, teguran, setuju tak setuju, mereka boleh sebut apa sahaja termasuk soalan tadi (penyebaran audio Ahmad Zahid dengan Anwar Ibrahim),” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut Saifuddin, PKR akan mengadakan Kongres Nasional bertemakan 'Kongres Rakyat' itu selama dua hari di Shah Alam, Selangor secara maya dan fizikal ekoran penularan Covid-19 sementara ucapan Dasar Presiden dijadualkan pada malam 5 Jun.
Bulan lalu, satu rakaman audio dikaitkan dengan Ahmad Zahid dan Anwar didedahkan di media sosial, namun kedua-dua pemimpin terbabit menafikan suara dalam audio berkenaan adalah perbualan mereka.
Sementara itu, Saifuddin juga memberi jaminan kejadian baling kerusi dan baling batu yang berlaku pada Kongres Nasional PKR di Melaka, sebelum ini tidak akan berulang dalam kongres tahunan yang bakal diadakan di Shah Alam kelak.
"Daripada laporan mesyuarat Cabang, kami dapati di kalangan anggota parti sangat fokus kepada pilihan raya umum, isu kekuatan parti, isu rakyat dan ia memberikan gambaran awal peranan Kongres Nasional (PKR) tidak akan berlaku seperti yang telah terjadi sebelum ini.
"Itu keyakinan yang saya boleh kongsikan,” katanya.