PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kecederaan David Luiz merencatkan pesta The Gunners selepas mengatasi Newcastle United 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St James' Park pada Ahad.
Dua gol jaringan Mohamed Elneny pada minit kelima dan Pierre-Emerick Aubameyang (66') sebelum itu kembali menyuntik semangat dalam kalangan pemain kelab London kembali ke tangga kesembilan liga menjelang aksi timbal balik kedua menentang Villarreal pada saingan Liga Europa di Emirates pada Jumaat.
Namun status Luiz yang terpaksa meninggalkan padang pada babak kedua menimbulkan persoalan selepas pemain kelahiran Brazil tersebut baru memulakan penampilan selepas direhatkan enam minggu akibat kecederaan.
Menurut Arteta, status kecederaan terkini Luiz yang dikeluarkan pada minit ke-53 masih dalam perhatian pegawai perubatan kelab tersebut.
"Kami masih menunggu laporan pegawai perubatan kelab mengenai status kecederaan terkini Luiz.
"Luiz mengadu seolah-olah dia mengalami kecederaan hamstring. Pada saya ini bukan satu berita yang baik kepada pasukan.
"Kecederaan Luiz adalah perkara yang kami mahu elakkan selepas perlawanan setelah pasukan kembali ke prestasi membanggakan," katanya.
Kemenangan ke-14 liga itu sekali gus membolehkan Arsenal mengumpul 49 mata selepas mengharungi 34 perlawanan.
Mengulas kemenangan itu, bekas pemain Arsenal tersebut berkata, pemain The Gunners mempamerkan semangat baharu apabila mula melupakan kekalahan kepada Villarreal dan Everton sebelum ini.
Jelas Arteta, beliau mahu pemainnya mengekalkan momentum tersebut menjelang kunjungan The Yellow Submarine pada aksi timbal balik kedua di Emirates.
"Prestasi pemain berada pada tahap terbaik terutamanya kecergasan dan mentaliti mereka fokus terhadap perlawanan ini
"Kami mendominasi permainan sebaik perlawanan bermula kerana misi di St James' Park adalah untuk menang sebagai motivasi menjelang aksi menentang Villarreal,” katanya.
Anak buah Arteta akan melayan kunjungan skuad pimpinan Unai Emery diiringi kelebihan satu gol selepas menewaskan lawan mereka 2-1 perlawanan pertama di Estadio de la Ceramica minggu lalu.