MAJLIS Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Sederhana (MPUPK) melaksanakan inisiatif bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas teruk akibat penularan Covid 19.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, institusi kewangan itu telah mengeluarkan pinjaman sebanyak RM257 bilion kepada PKS, termasuk pinjaman di bawah Dana Khas Bank Negara pada tahun 2020.
"Daripada jumlah tersebut RM67 bilion merupakan pinjaman yang baru pertama kali diluluskan kepada lebih 146,000 PKS.
"Ini adalah selaras dengan permintaan pinjaman yang meningkat untuk modal kerja dalam persekitaran mencabar ketika negara menghadapi pandemik Covid 19,” katanya.
Wan Junaidi berkata, usaha pemulihan juga akan tertumpu kepada usahawan mikro dan informal yang terjejas di seluruh negara.
"Berdasarkan kaji selidik dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) baru-baru ini, sebanyak 52.7 peratus usahawan yang majoritinya adalah perusahaan mikro dan informal, terjejas teruk sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Wan Junaidi, kerajaan kini sedang menjalankan pelbagai usaha pemulihan ekonomi bermula daripada peringkat akar umbi.
"MEDAC akan membangunkan Pelan Usahawan Informal sebagai rangka tindakan untuk mentransformasi dan mendayaupaya usahawan informal termasuk yang di pedalaman Sabah dan Sarawak.
"Dasar dan peraturan yang mesra perniagaan perlu diutamakan supaya selari dengan usaha kerajaan untuk memulihkan operasi perniagaan usahawan.
"Usahawan juga perlu bersedia untuk mengadaptasi teknologi dan digitalisasi supaya terus kekal relevan dan kompetitif dalam mendepani cabaran pada masa hadapan,” katanya.