KUANTAN - BN Pahang sedia menggerakkan jentera bagi membantu memenangkan semula calon BN pada PRK DUN Rantau.
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata,BN Pahang menerima keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini dengan hati terbuka.
Menurutnya, tumpuan kini untuk menggerakkan jentera parti bagi membantu memenangkan semula calon BN pada PRK itu.
"Jentera akan digerakkan seperti mana ketika membantu kempen PRK Semenyih ketika ini," katanya.
Wan Rosdy berkata, langkah diambil BN Pahang mengambil kira kerangka setiakawan BN keseluruhannya.
"Ditambah BN Pahang mendapat kerjasama cukup baik daripada BN Pusat dan negeri-negeri hingga calon BN, Ramli Mohd Nor menang dengan majoriti besar pada PRK Cameron Highlands sebelum ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Rayuan Tok Mat ditolak, PRK Rantau menyusul
Saya akan pertahankan kerusi DUN Rantau: Tok Mat
Terdahulu, Dr S Streram yang merupakan calon PH tidak dibenarkan bertanding kerana tidak membawa pas calon yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki pusat penamaan calon sekaligus calon BN yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohamad Hasan diumumkan menang tanpa bertanding.
Pada 23 Mei taqhun lalu, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK Dun itu diadakan semula.
Mahkamah Khas Pilihan Raya pada November lalu memutuskan PRK Dun Rantau perlu diadakan serta-merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.
Susulan itu, Mohamad memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan kerusi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.