MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) kini mendapat input daripada wakil sektor swasta dalam menggubal cadangan skim pencen untuk atlet yang telah layak ke Sukan Olimpik dan mencapai kejayaan yang setara dengan Olimpik.
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan cadangan skim tersebut akan berbeza dengan skim pencen penjawat awam dan oleh itu memerlukan perbincangan sebelum mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan melalui Majlis Sukan Negara (MSN).
Iklan
Iklan
Beliau berkata, pandangan dan pendapat dari sektor swasta adalah untuk mengelak kebergantungan terhadap dana kerajaan serta menjadikan dana itu mampan serta meningkatkan kadar kejayaan pelaksanaan skim tersebut.
"Pada dasarnya, kita akan mendapat sejumlah wang daripada kerajaan, melaburkannya bagi memastikan skim atau dana dapat bertahan lama. Misalnya, MOM mempunyai wang amanah berjumlah RM21 juta dan setiap tahun kami tidak menyentuhnya tetapi hanya menggunakan hasil daripada pelaburan itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma MOM di sini hari ini.
Pada November tahun lalu, MOM mencadangkan skim pencen itu dimasukkan di bawah Belanjawan 2021 bagi membantu mengurangkan beban atlet kebangsaan yang banyak berkorban demi kejayaan negara pada temasya Sukan Olimpik dan setaraf dengan Olimpik seperti Kejohanan Dunia.
Sebulan kemudian, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementeriannya sedang membincangkan skim pencen tersebut dengan pelbagai organisasi sukan dan cadangan tersebut akan dibentangkan kepada Kabinet.
Buat masa ini, hanya pemenang pingat Sukan Olimpik layak menerima pencen. - Bernama