Pelan antirasuah Jakim guna pendekatan Maqasid Syariah

Iklan
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Gambar fail Bernama

PUTRAJAYA- Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 2021-2025 yang dilancarkan pada Isnin menggunakan pendekatan Maqasid Syariah dalam merangka inisiatif dan pelan tindakan pencegahan rasuah bagi penambahbaikan tadbir urus agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang melancarkan Pelan OACP Jakim 2021-2025 itu berkata, prinsip Dharuriyyah Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta diterjemahkan dalam inisiatif dan pelan tindakan.

Iklan
Iklan

Zulkifli berkata, sebagai sebuah agensi peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia, Jakim perlu sentiasa menjadi barisan hadapan dalam menunjukkan teladan yang baik, menjunjung tinggi sifat amanah, ketelusan dan nilai integriti dalam segala urusan dan tindakan.

"Bagi menjamin keberkesanan tadbir urus dalam sesebuah organisasi, prinsip-prinsip nilai dan elemen integriti seperti ketelusan, akauntabiliti dan lain-lain nilai murni perlu dipatuhi dan diamalkan sepanjang masa oleh semua pihak di dalam sistem atau organisasi itu," katanya dalam ucapan ketika melancarkan pelan itu.

Iklan

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, Pelan OACP Jakim 2021-2025 itu merupakan komitmen jabatan dalam mendukung aspirasi dan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuah.

Perancangan lima tahun iaitu dari 2021 hingga 2025 yang digariskan dalam Pelan OACP Jakim itu menzahirkan usaha pencegahan rasuah merangkumi aspek tadbir urus, integriti dan antirasuah, katanya. - Bernama

Iklan