Wendy mara ke final terjun Piala Dunia

Iklan
Wendy Ng Yan Yee melangkah ke final acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita, hari ini.

PENERJUN negara, Wendy Ng Yan Yee menghidupkan pemburuan kilauan pingat Malaysia di terjun Piala Dunia FINA 2021 apabila melangkah ke final acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita, hari ini.

Pencapaian itu sekali gus mengubati kekecewaan kem negara apabila gandingan Pandelela Rinong-Leong Mun Yee terlepas menaiki podium dengan menduduki tempat keempat dalam final 10m platform seirama wanita yang berlangsung semalam.

Iklan
Iklan

Pada aksi di Pusat Akuatik Tokyo, penerjun berusia 27 tahun itu menamatkan pusingan separuh akhir di tempat kelapan daripada keseluruhan 18 penerjun dengan mengumpul 288.30 mata sementara rakan sepasukan Nur Dhabitah Sabri di tempat ke-14 mengutip 277.25 mata.

Wendy ternyata memperbaiki pungutan matanya berbanding di pusingan awal selepas sekadar menduduki tempat ke-14 dengan 275.10 mata sementara Nur Dhabitah lebih menyinar apabila mengutip 279.50 mata untuk berada di tempat ke-13.

Iklan

Wendy akan berentap bersama 11 penerjun lain yang turut mengesahkan slot ke final yang dijadual berlangsung esok.

Terdahulu, Wendy dan Nur Dhabitah yang bergandingan dalam acara 3m papan anjal seirama wanita pada Sabtu lepas gagal meraih slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara itu selepas menamatkan pusingan awal di tempat ke-15.

Iklan

Bagaimanapun, kedua-dua atlet tersebut telah mengesahkan tempat ke Olimpik lebih awal sebelum ini, dalam acara 3m papan anjal individu.

Sementara itu, cabaran Jellson Jabillin dan Hanis Nazirul Jaya Surya dalam acara 10m platform individu tamat di pusingan awal selepas masing-masing menduduki tempat ke-34 dan ke-43 sekali gus gagal ke separuh akhir.

Piala Dunia FINA 2021 yang berlangsung dari 1 hingga 6 Mei adalah kejohanan kelayakan terakhir untuk menempah tiket ke Olimpik Tokyo 2020.

Untuk rekod, empat penerjun negara sudah layak ke Tokyo 2020 iaitu Pandelela, Mun Yee, Nur Dhabitah dan Wendy sementara Cheong Jun Hoong dan Chew Yiwei antara penerjun negara yang masih memburu slot ke temasya sukan terbesar dunia itu. - Bernama