MASYARAKAT disaran membentuk pemikiran yang kritikal dengan menambah elemen moral serta nilai murni dalam diri bagi menentang amalan rasuah.
Ketua Pegawai Eksekutif Checkpoint Spot Sdn Bhd, Benjamin Yeow berkata, sudah tiba masanya untuk negara melahirkan komuniti yang berfikiran kritikal bagi menolak amalan rasuah sebagai satu norma yang biasa.
"Saya berpendapat sudah tiba masanya untuk masyarakat mula berfikir. Ikut suara hati dalam diri.
"Jika kita rasa perbuatan (rasuah) itu tidak betul, maka persoalkannya. Jangan mudah terima pandangan orang lain yang mengatakan ia (rasuah) adalah norma,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Benjamin berkata, masyarakat sering beranggapan bahawa korupsi tidak dapat dihapuskan secara menyeluruh.
"Sebahagian daripada masalah (peningkatan rasuah) adalah kerana kita takut untuk berfikir dan tidak dilatih untuk berfikir. Jadi kita tiada minda yang kritikal.
"Apabila tiba hari di mana kita ikut nilai-nilai murni serta moral hidup, kita dapat buang korupsi dalam diri dan dunia kita akan berubah. Jadi kita yang mengubah dunia kita sendiri,” katanya.
Benjamin berkata, masyarakat digalakkan bersatu hati dan menyuarakan ikrar mereka dalam memerangi rasuah melalui Kempen 100 Juta Langkah Menangani Rasuah.
Menurutnya, kempen yang dilaksanakan pada 13 April itu bertujuan mengajak orang ramai memulakan langkah mereka sebagai usaha membantah gejala rasuah di negara ini.
"Kami menyasarkan 10,000 orang untuk menyertai acara ini dan sasarannya ialah 100 juta langkah yang boleh dikumpul oleh 10,000 orang tersebut.
"Dari segi langkah-langkah yang disumbangkan, ia adalah simbolik bahawa peserta menentang rasuah. Itu mesej yang nak kita sampaikan. Langkah itu adalah ikrar kita untuk mengatakan bahawa setiap langkah yang diambil adalah untuk menentang rasuah,” katanya.
Menurutnya, program berkenaan adalah salah satu cara untuk menyokong gagasan Rasuah Busters yang digerakkan oleh Sinar Harian.
"Jadi menggunakan platform medium yang sedia ada, kita sokong Rasuah Busters dengan cara ini.
"Kalau boleh mendapatkan rakyat terlibat, maka usaha menentang rasuah ini akan lebih berkesan berbanding wawancara. Oleh itu, kita bermula pada 13 April. Kita jangka akhir bulan depan, kita akan tutup pendaftaran,” katanya.