Kekang pembaziran makanan

Iklan
Sukar untuk memastikan mengapa setiap kali Ramadan tiba, pembaziran makanan berlaku mendadak.

MENGIKUT Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), hampir 15,000 tan makanan dibazirkan setiap hari. Daripada jumlah itu, sebanyak 20 peratus atau 3,000 tan adalah lebihan makanan tidak disentuh dan masih boleh dimakan.

Lebih menyedihkan, jumlah itu cukup untuk menampung 5.3 juta orang dengan hidangan tiga kali sehari, khususnya di negara tertentu seperti Syria dan Palestin.

Iklan
Iklan

Di Malaysia yang dikenali sebagai syurga makanan, terdapat juga sebilangan masyarakat yang masih kelaparan dan mencari makanan di kawasan pembuangan sampah. Pada 2018, kajian oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke atas responden yang menetap di rumah pangsa di Kuala Lumpur menunjukkan satu daripada 10 kanak-kanak makan kurang daripada tiga kali sehari.

Bagi individu berkemampuan, sememangnya mereka boleh makan apa saja tetapi bayangkan golongan berpendapatan rendah yang pasti sukar untuk mendapatkan hanya sepinggan nasi. Justeru, isu pembaziran makanan adalah serius dan perlu ditangani segera.

Iklan

Dapatan tahun 2019 mendapati, isi rumah atau keluarga adalah penyumbang terbesar iaitu 30 peratus kepada keseluruhan 16,650 tan pembuangan sisa makanan di Malaysia setiap hari. Secara purata, sebuah keluarga yang terdiri daripada empat orang membazirkan hampir satu kilogram makanan setiap hari.

Natijahnya, terlalu banyak wang terpaksa digunakan dalam hal pengurusan sampah, apatah lagi kadar kitar semula di Malaysia hanya 22 peratus. Jadi, pembaziran makanan sepanjang Ramadan wajar dikawal kerana kos pengurusan sisa pepejal meningkat setiap tahun. Trend pembuangan sisa maka-nan meningkat 15 hingga 20 peratus atau sekurang-kurangnya 10,000 tan makanan pada musim perayaan dan Ramadan.

Iklan

Tinjauan di bazar Ramadan mendapati, rata-rata pengunjung menjinjing lebih dua bungkus juadah untuk berbuka, sekali gus membuktikan kebenaran kajian mengenai sikap membazir keterlaluan rakyat Malaysia ketika bulan puasa. Pada 2015, SWCorp pernah melaporkan sepanjang 30 hari Ramadan, sisa makanan terbuang adalah sebanyak 270,000 tan atau lebih kurang 9,000 tan sehari.

Sukar untuk memastikan mengapa setiap kali Ramadan tiba, pembaziran makanan berlaku mendadak, namun antara punca utama penghasilan sisa makanan yang tinggi adalah membeli berlebihan, penyimpanan makanan tidak sempurna dan faktor gaya hidup mewah.

Sebanyak RM115 juta diperuntukkan kerajaan melalui Belanjawan 2019 bagi pengurusan sisa pepejal, merangkumi pengurusan sisa makanan berbanding hanya RM95 juta pada 2018. Ia bermakna, pembaziran makanan terutama pada Ramadan bakal meningkatkan kos kerajaan menguruskan sisa pepejal, selain menjejaskan kualiti alam sekitar. Sisa makanan di tapak pelupusan sampah menghasilkan gas metana yang tinggi, selain membentuk larutan resapan (leachate) sangat kotor, sekali gus memberi kesan bahaya kepada sungai dan sumber air bawah tanah.

Bagi mengelak pembaziran, masyarakat perlu tahu kaedah mengurangkan sisa makanan seperti merancang sebelum membeli dan memasak mengikut kuantiti yang betul bagi setiap isi rumah. Berhemah ketika membeli juadah berbuka puasa dan tidak melampau ketika mengambil makanan secara bufet harus menjadi amalan, selain bekerjasama dengan peniaga bazar Ramadan dengan mengagihkan makanan tidak terjual kepada golongan memerlukan.

Didik ahli keluarga supaya tidak membazir dan ajar anak-anak mengenai cara menguruskan makanan. Namun, cara terbaik adalah dengan mengurangkan penggunaan makanan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia