TANAH MERAH - Demi menjamin kepuasan pelanggan, seorang pemuda memperuntukkan dua minggu sebelum Ramadan selain menjelajah banyak kawasan untuk mencari stok seluar jean terpakai yang terbaik.
Mengakui seluar jean adalah antara barangan yang laris di kedai 'bundle' miliknya di Padang Siam di sini, Azli Shafii, 31, berkata, pemilihan pakaian tersebut perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan kualiti dan harga yang dikenakan.
Azli yang membuka Lito Bundle sejak tiga tahun lalu memberitahu, sebelum Ramadan, dia akan menghabiskan masa menjelajah beberapa kawasan untuk mendapatkan stok seluar jean berkenaan.
"Memang sebelum puasa lagi pelanggan tetap saya sudah bertanya stok seluar jean yang ada. Untuk kali ini saya jelajah lebih 50 pembekal untuk dapatkan stok terbaik.
"Walaupun tidak dapat beraya sebagaimana tahun-tahun sebelum ini disebabkan Covid-19, namun mereka tetap mahukan stok seluar baharu untuk bekerja dan sebagainya.
"Saya jual dengan harga standard sahaja. Apa yang penting kualiti itu terjaga. Walaupun 'bundle' tapi saya tetap memastikan ia bersih, jahitan kemas dan tidak rosak," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, stok seluar 'bundle' itu diperoleh dari seluruh Kelantan, termasuk di beberapa buah negeri berjiran.
Malah katanya, dia akan menghabiskan masa 'berkubang' dengan seluar-seluar yang diambil untuk memeriksa satu persatu sebelum dibasuh dan dijual di kedainya.
Disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Azli yang juga seorang penulis sambilan itu memberitahu, banyak urusan perniagaannya terpaksa dilakukan secara dalam talian termasuk urusan jual beli.
"Sekarang ini banyak urusan jual beli dibuat melalui dalam talian. Ada pelanggan tetap yang akan telefon dan minta saya kongsikan gambar, apabila mereka masukkan duit, kita hantar barang. Ada juga yang pandu lalu.
"Buat masa sekarang ini saya berniaga secara kecil-kecilan saja, namun saya mempunyai impian untuk membesarkan lagi perniagaan ini," katanya.