Skuad Kim Swee bermula langkah kiri

Iklan
Foto: FAM

MALAYSIA terpaksa mengharungi laluan berliku sekiranya mahu mencapai sasaran mara ke separuh akhir saingan Kejuaraan AFF Bawah 22 tahun (B-22) apabila kalah tipis 0-1 kepada tuan rumah, Kemboja, hari ini.

Walaupun saling melakukan serangan bertali arus dan mempunyai peluang, kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol pada separuh masa pertama pada aksi itu yang berlangsung di Stadium Olimpik, Phnom Penh.

Iklan
Iklan

Peluang terbaik skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee hadir pada minit ke-31, namun Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak gagal menyempurnakan hantaran M. Kogileswaran Raj di hadapan pintu gol.

Selang empat minit kemudian, Kemboja pula mempunyai peluang membuka jaringan, namun tandukan Narong Kakada tersasar di sebelah kiri gawang gol Malaysia.

Iklan

Kemboja, bagaimanapun berjaya memecah kebuntuan menjaringkan gol apabila sepakan percuma Sath Rosib pada minit ke-62 gagal diselamatkan penjaga gawang negara, Haziq Nadzli.

Kemboja memperoleh sepakan percuma tersebut apabila Danial Haqim Draman mengasari Orn Chanpolin, menyebabkan pemain tengah negara berusia 20 tahun itu dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Iklan

Malaysia cuba bangkit menerusi rembatan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-67, namun percubaan itu berjaya ditepis penjaga gol Kemboja, Hul Kimhuy, malah serangan susulan Hadi Fayyadh juga diselamatkan penjaga gawang tuan rumah berusia 18 tahun itu.

Skuad muda negara seterusnya akan bertemu Indonesia pada perlawanan kedua Kumpulan B, Rabu ini, diikuti berdepan Myanmar dua hari kemudian, manakala Kemboja akan beraksi menentang Myanmar selepas ini.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Terdahulu pada satu lagi aksi pertama Kumpulan B, Myanmar dan Indonesia berkongsi satu mata apabila terikat 1-1. - Bernama