PH gesa polis siasat dakwaan Abdul Hamid

Iklan
Fahmi bersama pemimpin PH hadir ke IPD Dang Wangi di sini pada Selasa untuk membuat laporan berkaitan dakwaan Abdul Hamid mengenai campur tangan politik.

KUALA LUMPUR - Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung campur tangan politik dalam pasukan itu.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, sebuah portal berita melaporkan mengenai pendedahan Abdul Hamid mendakwa wujud campur tangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menentukan jawatan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman bagi tujuan karier politik individu itu.

Iklan
Iklan

"Saya menggesa PDRM menyiasat dakwaan terbaharu itu berkaitan campur tangan pelantikan dalam pasukan PDRM.

"Sekiranya dakwaan itu benar tindakan harus diambil terhadap mereka yang terlibat dalam campur tangan dalam urusan cawangan khas PDRM," katanya ketika ditemui media selepas beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Selasa.

Iklan

Turut hadir Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Teresa Kok, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.

Fahmi berkata, beliau bersama empat pemimpin PH turut memohon PDRM segera melakukan siasatan untuk mengenal pasti siapakah yang dimaksudkan oleh Abdul Hamid termasuk dakwaan individu yang naik 'private jet' pergi ke Sabah dan selepas itu berlaku 'lompat katak' dalam kalangan ahli politik di sana.

Iklan

"Luahan Abdul Hamid itu tidak boleh dipandang sambil lewa. Kita juga memohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendiriannya serta penjelasan terhadap dakwaan Abdul Hamid.

"Adakah benar Abdul Hamid telah bertemu Perdana Menteri, apakah tindakan yang akan diambil terhadap individu yang dimaksudkan oleh bekas Ketua Polis Negara itu," katanya.

Fahmi berkata, sekiranya tiada apa-apa kenyataan dan tindakan, maka ia dianggap penganiayaan terhadap PDRM.

"Kita lihat ada usaha reformasi serta menambah baik pasukan itu seperti yang dibangkitkan oleh bekas Ketua Polis Negara," katanya.

Pada Jumaat lalu, Abdul Hamid dilapor mencadangkan Suruhanjaya Pasukan Polis tidak lagi dipengerusikan menteri, sebaliknya melantik hakim atau bekas hakim bagi mengelak campur tangan politik.

ARTIKEL BERKAITAN Menteri tidak sepatutnya jadi Pengerusi SPP - KPN