MELAKA - Zakat Melaka menyasarkan sebanyak RM5 juta pungutan zakat fitrah tahun ini berbanding RM4.5 juta pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ibrahim Fadzil berkata, sasaran itu tidak mustahil dapat dicapai walaupun negara masih berdepan pandemik Covid-19 kerana pihaknya telah menyediakan kemudahan dan inisiatif bayaran zakat secara atas talian bagi memudahkan pembayar melaksanakan rukun Islam itu.
"Trend bayaran secara atas talian juga semakin meningkat selain pembayar zakat dengan jumlah RM14 menunjukkan pertambahan," katanya.
Ibrahim berkata demikian selepas program pautan kasih Ramadan bersama anak-anak fakir, miskin dan yatim anjuran Zakat Melaka di Jakel Melaka di Bukit Baru di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Ibrahim memberitahu, seramai 100 murid yang memerlukan diraikan dengan memilih sepasang baju raya dan pemberian duit raya.
Menurutnya, program diadakan selama tiga hari mengikut daerah bagi menggelakkan kesesakan dalam kedai dengan pematuhan sistem operasi standard (SOP).
"Pada hari ini seramai 35 murid dalam daerah Melaka Tengah diraikan dan esok Jasin dan seterusnya di Alor Gajah dengan peruntukan RM12,000.
"Kita berterima kasih kepada pembayar-pembayar zakat di negeri ini dan berharap orang ramai yang berkemampuan mengambil peluang untuk membuat bayaran zakat tanpa menunggu saat akhir," katanya.