PENGENDALI West Ham United, David Moyes mengakui anak buahnya menggunakan pendekatan menyerang ketika menentang Burnley di Turf Moor dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurut Moyes, taktikal tersebut menyaksikan The Hammers berjaya melakukan 22 percubaan ke arah ke arah gawang The Clarets yang berakhir dengan kemenangan 2-1 sekali gus menghidupkan laluan kelab London itu ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Anak buah Sean Dyche terlebih dulu di depan menerusi jaringan Chris Wood pada minit ke-19 sebelum dua gol daripada Michail Antonio pada minit 21' dan 29' membolehkan pelawat melakar kemenangan ke-17 liga selepas mengharungi 34 perlawanan.
Kemenangan itu membolehkan The Hammers naik ke tangga kelima liga, tiga mata di belakang Chelsea di tempat terakhir slot Liga Juara-Juara dengan baki empat perlawanan lagi.
"Saya berharap dengan empat perlawanan lagi, komuniti bola sepak Inggeris masih bercakap mengenai kami dan Liga Juara-Juara. Kami akan memberi cabaran hingga hari terakhir dan cuba menyelinap masuk slot empat terbaik.
"Ini mungkin juga memerlukan kita memenangi keempat-empat permainan. Pentas Eropah akan menjadi pencapaian yang luar biasa. Saya akan kecewa jika kita tidak sampai ke sana.
"Sejumlah besar permainan musim ini kami bermain dengan sangat baik. Kami kehilangan beberapa pemain kerana kecederaan yang telah mempengaruhi pasukan. Kami akan terus berjalan, kami tidak akan mengalah tanpa berjuang hingga penghujung musim,” kata Moyes.
West Ham selepas ini akan berdepan Everton kelab tangga kelapan, Brighton & Hove Albion (14), West Bromwich Albion (19) dan Southampton (ke-15) manakala Chelsea mempunyai laluan yang lebih sukar apabila berdepan pendahulu Manchester City, Arsenal (9), Leicester City (3) dan Aston Villa (10).