KUALA LUMPUR - Biarpun kadar kes darah beku berkenaan vaksin AstraZeneca amat rendah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memberi jaminan akan terus memantau sebarang kejadian yang berkaitan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kementerian juga memberi jaminan akan terus memberi rawatan segera jika kes benar-benar berlaku.
Tambahnya lagi, orang ramai juga dinasihat untuk memantau tahap kesihatan mereka, di samping perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala yang tersenarai dalam masa empat hari hingga empat minggu selepas suntikan pertama vaksin berkenaan.
Antara gejala yang tersenarai ialah:"Sakit kepala yang teruk tidak berkurangan dengan ubat tahan sakit ataupun ianya semakin teruk; sakit kepala semakin teruk apabila berbaring atau semasa membongkok.
"Sakit kepala luar biasa disertai dengan, pandangan kabur, loya dan muntah, sukar bertutur, lemah, mengantuk atau sawan; bintik-bintik kecil pada kulit, lebam atau berlaku pendarahan, dan sukar bernafas, sakit dada, bengkak pada kaki atau sakit perut yang berterusan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mengikut jadual Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemohon vaksin AstraZeneca yang berjaya akan mula mendapat suntikan pada 5 Mei ini (Rabu).
Empat pusat yang digazetkan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ialah World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ideal Convenction Centre Shah Alam (IDCC).
Dalam pada itu, Dr Adham berkata, pengamal perubatan yang merawat kes berkaitan, perlu menyiasat sama ada kes telah menerima vaksin dalam masa 30 hari sebelum gejala bermula.
"Pengamal perubatan juga perlu membuat pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan samada gejala yang ditunjukkan adalah disebabkan pembekuan darah. Sehubungan dengan itu pemeriksaan-pemeriksan berkaitan termasuk pemeriksaan darah dan radiologi perlu dijalankan dengan seberapa segera.
"Pengamal perubatan juga perlu membuat pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan samada gejala yang ditunjukkan adalah disebabkan pembekuan darah. Sehubungan dengan itu pemeriksaan-pemeriksan berkaitan termasuk pemeriksaan darah dan radiologi perlu dijalankan dengan seberapa segera,” katanya lagi.
Buat masa ini, Dr Adham berkata, KKM akan menerima satu juta dos vaksin AstraZeneca pada hujung Mei ini melalui fasiliti COVAX, sebagai tambahan kepada 268,800 dos sedia ada.
Selain itu, beliau berkata, keputusan juga telah dibuat bahawa tempoh penerimaan antara dos pertama dan dos kedua adalah selama 12 minggu.