KUANTAN - Aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri ini dibenarkan semula selepas moratorium selama tiga tahun berakhir 31 Mac ini tidak akan disambung.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, aktiviti tersebut dibenarkan semula namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Menurutnya, pada masa sama sebanyak 435,000 tan metrik bauksit di pusat penyimpanan sedia ada di Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman, Terengganu perlu dikosongkan sehingga hujung bulan depan.
"Permit import (AP) bagi empat syarikat yang diberi kebenaran mengeksport bauksit juga akan tamat 31 Mac ini.
"Bagaimanapun hanya bauksit yang sudah dicuci akan dibenarkan untuk dieksport selepas tarikh itu, bagi menjaga kebersihan dan alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas meninjau kedudukan terkini moratorium perlombongan dan pengeksportan bauksit, hari ini.
Dr Xavier berkata, kerajaan negeri sudah maklum mengenai penamatan tempoh moratorium dan semua pihak bersetuju dengan SOP baharu.
"Ia meliputi aspek perlombongan sehingga pengeksportan dan SOP ini juga sudah dipersetujui Kabinet pada minggu lalu.
"Kita akan mengadakan sesi bersama pemegang taruh akhir bulan ini di sini, bagi memastikan semua pihak terbabit sedia mematuhinya,” katanya.
Beliau berkata, tindakan akan diambil kepada pihak yang ingkar mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1975 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM500,000.
"Semua pihak perlu patuh dengan syarat dan peraturan yang ditetapkan ini atau berdepan hukuman,” katanya.
Dr Xavier berkata, moratorium bauksit tidak disambung kerana galian itu mempunyai permintaan dan potensi besar serta memberi keuntungan kepada kerajaan Pahang.
Katanya, bagi tahun 2015, kutipan royalti yang diperoleh kerajaan Pahang ialah RM47 juta setahun.
"Malah, SOP industri bauksit di Pahang ini juga akan diperluaskan ke negeri Terengganu dan Johor yang turut memiliki aktiviti perlombongan mineral berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, semua pemegang taruh dalam industri bauksit di Pahang diminta sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dan jabatan serta agensi kerajaan Pusat sekali gus mematuhi SOP yang sudah ditetapkan.