SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan melaksanakan program saringan Covid-19 secara percuma di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap hari meliputi seluruh 56 DUN di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program tersebut akan bermula di DUN Kajang dan Semenyih yang akan diadakan pada Sabtu hingga 10 Jun depan.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil memandangkan tren peningkatan laporan kes Covid-19 harian sejak beberapa minggu lalu dan kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos saringan terlibat.
Iklan
Iklan
"Faktor yang amat membimbangkan adalah apabila rakyat Selangor yang dijangkiti Covid-19 tetapi tidak mengetahuinya, atau diistilahkan sebagai pembawa senyap.
"Golongan ini amat merisaukan kerana mereka boleh menularkan dan menjangkiti kumpulan yang berisiko tinggi kerana mereka adalah golongan yang tidak bergejala dan sihat.
"Pelan Tindakan Kesihatan Awam Negeri Selangor akan melaksanakan program pengawasan melalui pengenal pastian kes secara aktif bagi memulakan Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 Negeri Selangor,” katanya di sini pada Selasa.
Sementara itu, Amirudin berkata, program tersebut akan memberi manfaat dan peluang kepada rakyat berisiko, pernah menjadi kontak dengan pesakit Covid-19, bergejala serta rakyat yang bimbang mengenai status mereka.
Beliau juga berharap rakyat Selangor mengambil langkah proaktif dengan menjalani saringan di seluruh negeri mengikut tarikh ditetapkan dan memainkan peranan untuk mengurangkan wabak Covid-19 di negeri tersebut.