JAS kompaun RM642,000 kilang cemar parit awam

Iklan

BUKIT MERTAJAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengenakan 321 kompaun bernilai RM642,000 dan menggantung lesen kilang pemerolehan semula minyak terpakai di Bukit Minyak, di sini kerana telah menyebabkan pencemaran sisa minyak ke parit awam.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas susulan aduan orang awam pada 30 April lepas, mengenai pencemaran bau dari longkang di kawasan tersebut dan pemeriksaan JAS Pulau Pinang menemukan lapisan minyak di parit Kawasan Perindustrian Bukit Minyak.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan siasatan awal mendapati pencemaran tersebut berpunca dari sebuah kilang pemerolehan kembali buangan terjadual yang menjalankan aktiviti pemprosesan buangan berminyak berhampiran lokasi tersebut.

"Pemeriksaan kami juga mendapati kilang itu tidak melakukan penstoran dengan sempurna dan meletakkan buangan-buangan terjadual di kawasan terbuka sehingga menyebabkan berlaku pelepasan buangan berminyak ke parit awam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya mengenakan kompaun, menggantung lesen dan premis tersebut diarahkan melakukan pembersihan serta-merta dengan menyedut dan membersihkan sisa minyak yang berada di dalam parit awam bagi mengelakkan impak lebih serius.

Sharifah Zakiah berkata, penyimpanan buangan terjadual seperti sisa minyak dan pelarut yang mudah meruap secara terdedah bukan sahaja mencemar alam sekitar malah berpotensi menyebabkan kebakaran di bawah cuaca panas dan mudah merebak ke premis lain.

Iklan

Menurutnya, siasatan turut mendapati kesalahan itu bukan pertama kali dilakukan oleh premis tersebut malah pernah melakukan kesalahan sama sebelum ini dan telah dikenakan tindakan.

"Saya meminta setiap premis yang berada di dalam sesuatu kawasan industri turut menjadi mata dan telinga dengan melaporkan ketidakpatuhan premis berdekatan mereka bukan sahaja bagi menjaga alam sekitar malah untuk memastikan keselamatan premis masing-masing," katanya. - Bernama