Rujuk kementerian sebelum terima kerja luar negara

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia terutamanya golongan muda dinasihatkan merujuk kepada Kementerian Luar berkenaan maklumat pekerjaan sebelum menerima tawaran bekerja di luar negara, kata Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri, Mohd Adli Abdullah.

Beliau berkata kementerian sering menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dan tidak terperdaya dengan tawaran gaji yang tinggi untuk bekerja di luar negara.

Iklan
Iklan

"Bagi kes di Kemboja yang berlaku baru-baru ini, mereka ditawarkan gaji tiga kali ganda iaitu AS$1,200 hingga AS$1,500 dolar sedangkan kebiasaannya gaji sebagai tukang masak atau pekerja hotel hanya ditawarkan AS$300 hingga AS$400 dolar sahaja.

"Rakyat juga perlu merujuk kepada undang-undang tempatan contohnya di Korea, kita bukan antara negara sumber untuk bekerja di negara tersebut dan boleh ditahan serta didakwa kerana menyalahgunakan visa,” katanya di sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, hubungan dua hala yang amat baik antara Malaysia dan Kemboja antara faktor urusan pembebasan 47 warga negara ini yang ditahan di Kemboja pada 11 Disember lalu berjalan lancar.

Menurutnya, sokongan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah yang menghubungi Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Prak Sokhonn, yang juga Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa turut membawa kepada memudahkan urusan membawa pulang 47 rakyat Malaysia yang berusia 18 hingga 21 tahun itu.

Iklan

Kesemua mereka yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam pengendalian judi haram telah dibebaskan selepas beberapa rundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Keputusan meluluskan pembebasan kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey itu dibuat oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen setelah mendapati semua tahanan itu telah ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan.

Kesemua 40 anak Sarawak dan tiga dari Sabah tiba di KLIA petang semalam dengan menaiki pesawat yang disewa JC Airlines, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Kemboja manakala empat orang dari semenanjung menaiki pesawat AirAsia ke Kuala Lumpur.- Bernama