Peniaga terjejas boleh mohon Skim BSN Mikro Pemerkasa

Iklan
Tan Yee Kew

WANGSA MAJU - Peniaga yang terjejas dan menghadapi masalah aliran tunai akibat Covid-19 boleh memohon Skim Mikro Pemerkasa yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berkata, Skim BSN Mikro Pemerkasa yang dilancarkan 1 April lalu khusus untuk peniaga kecil di Wangsa Maju dengan menawarkan kadar faedah tiga peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemudahan tersebut sebagai alternatif kepada golongan berkenaan yang masih menunggu bantuan kewangan daripada kerajaan.

"Walaupun pihak kerajaan telah melancarkan bantuan jutaan ringgit untuk pemulihan perniagaan namun terdapat ramai peniaga yang mengadu tidak mendapat akses bantuan kewangan tersebut. Mereka diberitahu skim bantuan itu telah kehabisan dana.

Iklan

"Justeru, peniaga boleh mencuba skim ini sebagai pembiayaan modal kerja dan pembelian aset perniagaan peruncitan atau pemborongan, pembuatan dan perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, mereka yang layak memohon adalah perusahaan mikro dimiliki warganegara Malaysia dan perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Iklan

"Mereka yang tiada SSM namun mempunyai lesen perniagaan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan ke atas juga layak memohon.

"Selain itu, golongan yang bekerja sendiri termasuk kategori profesional (peguam, doktor dan akauntan) juga boleh memohon. Pemohon mestilah bukan penerima BSN Micro-i Penjana Tourism Financing (PTF)," katanya.

Yee Kew berkata, sebanyak 5,000 risalah maklumat skim tersebut telah diedarkan di sekitar Wangsa Maju bagi membolehkan pengguna maklum tentang kemudahan ini.

"Saya juga menetapkan tarikh 5 Mei (Rabu) pada jam 10 pagi hingga 2 petang untuk pembukaan kaunter di pejabat saya untuk mereka yang berminat membuat permohonan.

"Pemohon perlu membawa dokumen Siljil Pendaftaran SSM atau lesen perniagaan DBKL, penyata kewangan bank selama tiga bulan dan salinan kad pengenalan," katanya.

Katanya, pegawai BSN akan turut serta untuk membantu pemohon mengisi permohonan pada tarikh tersebut.