PERANG terbuka antara bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin nampaknya belum ada tanda-tanda akan surut.
Walaupun pada awalnya ramai yang melihat sebaik tongkat kuasa dilepaskan Abdul Hamid kepada penggantinya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani semuanya akan pulih kembali, namun ternyata sangkaan itu meleset.
Sebagaimana lantangnya Abdul Hamid dalam sidang akhbar terakhir beliau pada Jumaat lalu dengan kata-kata seperti ‘Saya dan YB Menteri memang tidak harmoni’ dan ‘I respect everyone but I fear no one!’, Abdul Hamid sememangnya berjalan di atas kata-katanya.
Pada tengah hari Selasa, Abdul Hamid terus menggegarkan pasukan Sang Saka Biru.
Lebih mengejutkan kali ini, anak jati kelahiran Negeri Sembilan yang suka bertani itu melepaskan peluru baharu kepada Hamzah.
Dakwa Abdul Hamid, Hamzah bukan sahaja telah memaksa Jabatan Cawangan Khas (JCK) melakukan beberapa operasi bagi tujuan politik, malah cuba menukar Pengarah JCK yang enggan mengikut arahan menteri.
"Menteri berkenaan dikatakan mengatur langkah untuk menjadikan ‘budaknya’ (bekas pegawai kanan JCK) menyandang jawatan Pengarah JCK kerana individu itu mudah mengikut arahan menteri,” dakwa Abdul Hamid.
Bagaimanapun, akui Abdul Hamid, semua percaturan menteri tersebut tidak terjadi selepas isu berkenaan dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selepas lebih lima hari, perang terbuka Abdul Hamid-Hamzah berlarutan, nampaknya sesuatu perlu dilakukan oleh Putrajaya.
Muhyiddin perlu campur tangan bukan sahaja dalam mencari damai antara dua figura itu, bahkan mendapat jalan penyelesaian terhadap setiap satu pendedahan Abdul Hamid.
Jika krisis bekas KPN dengan pak menteri itu tidak ditangani, ia pasti akan memberi reputasi yang buruk bukan sahaja kepada kerajaan bahkan pasukan Sang Saka Biru.
Cuma dalam mencari jalan penamat itu, janganlah seperti menyapu sampah di bawah karpet! Ini kerana hakikatnya isu campur tangan politik dalam pasukan bukanlah kudis baharu.