SHAH ALAM - Sudah tiba masanya UMNO menyerahkan jawatan-jawatan penting Barisan Nasional (BN) seperti Setiausaha Agung kepada parti komponen koalisi iaitu MCA dan MIC bagi menunjukkan persepakatan kukuh.
Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh berkata, langkah itu adalah perkara paling wajar dilakukan UMNO sekarang sebagai parti peneraju gabungan berusia lebih 48 tahun itu.Jelas beliau, tindakan itu menampakkan persepakatan parti-parti komponen dalam BN adalah sama rata dengan UMNO tidak dilihat sebagai ‘big brother’.
"(Cadangan serah jawatan penting BN) Itu yang paling wajar dibuat. Bagi jawatan Setiausaha Agung BN, (UMNO) berilah kepada MCA dan MIC."Itu menunjukkan koalisi kuat antara parti dalam komponen BN dengan nilai persepakatan akan dilihat lebih sama rata dan UMNO tidak dilihat sebagai big brother,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau mengulas teka-teki jawatan Setiausaha Agung BN yang masih belum diisi sehingga kini, walaupun BN sebelum ini mengumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan akan menggalas tanggungjawab tersebut.
Pada 5 Januari lalu, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa daripada jawatan Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN).
Mengulas mengenai polemik jawatan Setiausaha Agung BN yang belum terisi, Sivarraajh menegaskan beliau belum menerima maklumat lanjut mengenainya.
"Saya percaya urusan pelantikan harus melalui Majlis Tertinggi BN,” kata beliau.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon pula mengakui jawatan Setiausaha Agung BN belum diisi sehingga kini. Katanya, individu yang dikaitkan dengan jawatan itu, Ahmad Maslan sebelum ini meminta untuk tidak dilantik dalam satu mesyuarat Majlis Tertinggi BN.
Jelas beliau, memang ada cadangan supaya jawatan utama BN termasuk Setiausaha Agung patut dikongsi kepada rakan-rakan parti komponen dalam koalisi itu.
"Ini penting sebagai mencerminkan kepelbagaian kaum dalam kepimpinan BN, yang merupakan suatu identiti utama koalisi ini.
"Namun, usaha membangkitkan cadangan itu tidak menggambarkan koalisi BN berdepan isu besar lebih-lebih lagi mesyuarat Majlis Tertinggi BN telah beberapa kali diadakan tahun lepas dan awal tahun ini,” ujarnya.Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berpandangan tuntutan terkini MIC dan MCA meminta UMNO menyerahkan jawatan penting BN seperti Setiausaha Agung dan Bendahari Agung kepada parti-parti komponen ada logiknya.
Ujar beliau, sebenarnya sudah menjadi tradisi, jawatan penting dalam BN dikuasai UMNO kerana parti itu yang membiayai tabung pilihan raya BN bagi menghadapi setiap pilihan raya umum atau pilihan raya kecil.
"Bagaimanapun, kalau betul MCA dan MIC mahukan jawatan berkenaan, buatlah cadangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN, jangan sekadar cadang pada bukan tempatnya,” kata beliau.