KUALA KURAU - Majlis Daerah Kerian (MDK) bakal melaksanakan kerja menaik taraf sebuah medan selera di hadapan Balai Bomba Kuala Kurau yang mengalami mendapan struktur, bernilai RM300,000 bermula pertengahan bulan Mac hadapan.
Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, bahagian tempat duduk pelanggan di belakang medan selera berusia lebih 20 tahun itu kini tidak lagi selamat diduduki susulan masalah mendapan berlaku setahun lalu.
Menurutnya, kerja menaik taraf medan selera terbabit termasuklah membina semula platform tempat duduk pelanggan di bahagian belakang yang lebih kukuh dan mempunyai pemandangan indah menghadap lautan.
"Susulan itu, proses menaik taraf premis juga bakal memindahkan kesemua platform tempat duduk pelanggan di bahagian hadapan medan selera ke belakang untuk ruangan dikosongkan kelak dijadikan tempat parkir kenderaan.
"Saya dimaklumkan tawaran tender akan dibuka pada 28 Februari ini dan projek menaik taraf medan selera berkenaan dijangka bermula pertengahan bulan Mac hadapan," katanya kepada media selepas sesi lawatan meninjau medan selera yang mengalami masalah mendapan sejak setahun lalu, di sini hari ini.
Abdul Yunus berkata, projek menaik taraf medan selera itu dijangka akan disiapkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh mula projek dan menerima peruntukan RM300,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT).
Katanya, sepanjang tempoh kerja naik taraf dijalankan, empat pemilik lot niaga di medan selera itu akan dipindahkan sementara di tapak niaga hadapan Stesen Bas Kuala Kurau.
"Usaha menaik taraf medan selera itu pastinya menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke premis itu untuk menikmati hidangan istimewa kari ikan sembilang yang sememangnya terkenal di Parlimen Parit Buntar.
"Di samping itu, inisiatif itu sedikit sebanyak mengubah wajah Pekan Kuala Kurau menjadi lebih ceria di samping memberi lebih kemudahan kepada kenderaan bomba untuk keluar masuk ke balai mereka," katanya.